Berita

Annuar sokong gesaan siasat pembelian bangunan MARA

- Diterbit 8 Ogos 2020 1:09 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka semula penyiasatan kes tuduhan rasuah dalam isu pembelian bangunan oleh anak syarikat Mara Incorporated Sdn Bhd di Melbourne, pada tahun 2012 dan 2013 lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, SPRM haruslah bertindak segera berikutan mahkamah Australia telah mendakwa beberapa individu (rakyat Malaysia) berkaitan kes tersebut.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi MARA menyokong gesaan terbuka dibuat oleh dua Ahli Parlimen, Johor Bahru (PKR) dan Seputeh (DAP) supaya SPRM bertindakan segera terhadap pihak terlibat, memandangkan wujud maklumat baharu berhubung kes terbabit.

“Saya menyokong gesaan kedua-dua Ahli Yang Berhormat tersebut dan berharap SPRM dapat bertindak segera ‘without fear or favour’ serta membawa mereka terlibat ke muka pengadilan.

“Saya percaya beberapa perkara telah berbangkit di mahkamah Australia berkenaan kes ini, turut melibatkan “Maklumat Baru” yang sememangnya menuntut dan membolehkan pihak SPRM untuk membuka semula siasatan terdahulu,” katanya.

Menurut Annuar, beliau telah pun dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 19 Julai 2013 lalu, bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun katanya, pembelian aset-aset itu pula berlaku antara tahun 2012 hingga Mac 2013, iaitu sebelum beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA.

“Pada waktu tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan MARA ialah Datuk Dr Yusof Yaakob (kini Menteri Negeri Sabah), manakala Pengerusi Mara Inc. Dato Lan Alani dari Semporna Sabah.

“Sementara Menteri bertanggungjawab menjaga MARA yang turut meluluskan pembelian aset itu adalah Datuk Seri Mohamad Shafie Afdhal yang kini merupakan Ketua Menteri Sabah,” jelasnya.

Annuar menegaskan, beliau percaya kesemua individu terbabit boleh membantu melengkapkan penyiasatan SPRM berhubung kes terbabit.- OLEH SYAHIDI BAKAR -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas