Berita

Annuar bimbang warga kota bawa pulang COVID-19

ANNUAR meninjau kemajuan hasil pertanian di Kebun Hijrah Warrior dalam lawatan kerjanya ke Anjung Kelana, Pusat Transformasi Gelandangan hari ini.
- Diterbit 18 Mei 2021 7:07 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa melahirkan kebimbangan terhadap warga kota yang pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti kerana dikhuatiri turut membawa virus COVID-19 ke ibu kota.

Beliau berkata, melalui beberapa foto yang tular baru-baru ini yang menunjukkan ramai warga kota balik juga beraya walaupun ada sekatan kerana mereka telah mendapat kebenaran dan sebagainya.

“Kita takut ada yang datang dari luar Kuala Lumpur terutama dari zon merah dan membawa pulang virus tersebut ke sini,” katanya kepada Wilayahku selepas melawat Kebun Hijrah Warrior di Anjung Kelana dekat Taman Desa hari ini.

Annuar berkata, pihaknya kini sedang memantau perkara itu dan berharap kes di Kuala Lumpur akan terus kekal rendah.

“Buat masa ini secara relatifnya ia agak rendah tetapi kita sentiasa beringat dan memantau keadaan terutama sekali di pasaraya yang dibuka.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai kalau tidak ada perkara yang terlalu mustahak, tidak usah pergi dan lebih baik duduk di rumah sahaja,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberikan bayangan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat akan dilaksanakan di Selangor berikut kes positif COVID-19 mencatatkan pentambahan mendadak melebihi 1,000 kes setiap hari.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKNWP) berkata pihaknya tidak bercadang untuk mengetatkan lagi PKP di Kuala Lumpur.

“Situasi di Kuala Lumpur ketika ini agak terkawal dan kes jangkitan COVID-19 mencatatkan kurang daripada 300 kes pada 17 Mei lalu dan kita sentiasa memantau dengan ketat.

“Apa yang disebut oleh menteri (Adham) itu ialah memberi bayangan supaya ada persiapan mental.

“Biasanya kalau didapati kes terus merebak maka kita kena bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang lebih drastik,” katanya.-AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas