Berita

Anjung Ketam musnah dilanda ombak besar, pengusaha hilang punca pendapatan 

STRUKTUR jambatan Anjung Ketam musnah dilanda ombak besar pada Selasa.
- Diterbit 15 Januari 2021 12:57 PM MYT

BAGAI jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib yang menimpa pengusaha restoran ternama di Labuan, Anjung Ketam Nagalang.

Dia bukan sahaja terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0), kini restorannya turut musnah akibat dilanda ombak besar pada Selasa lalu.

Menurut pengusahanya, Ali Buah, 62, susulan kejadian itu, dia hilang punca pendapatan dan hanya mampu bersabar dengan musibah yang melanda.

Ujarnya, dia mengalami kerugian sebanyak RM80,000 serta kehilangan satu-satunya sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Kejadian yang berlaku pada pukul 8 malam itu, mengakibatkan restoran miliknya musnah dalam sekelip mata.

“Waktu itu fenomena air pasang surut sedang berlaku yang menyebabkan ombak besar menghempap struktur bangunan Anjung Ketam. Ekoran itu, struktur jambatan sepanjang 20 kaki runtuh.

“Ketika itu, kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat restoran dimusnahkan ombak besar,” katanya ketika ditemui Wilayahku hari ini.

Menurut Ali, akibat kejadian itu perniagaannya, terpaksa ditutup sementara waktu sehingga kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Tambahnya, PKP yang dilaksanakan disusuli bencana yang berlaku memberi tamparan hebat kepadanya sepanjang berniaga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas