Berita

Anggota tentera bergabung dengan polis adakan pemeriksaan, SJR di Labuan

105 anggota tentera bergabung dengan polis untuk mengendalikan lapan pusat pemeriksaan dan tiga sekatan jalan raya bermula 12.01 tengah malam, semalam. Foto - TUDM Portal
- Diterbit 15 Jun 2021 9:02 AM MYT

SEKURANG-kurangnya 105 anggota tentera bergabung dengan polis untuk mengendalikan lapan pusat pemeriksaan dan tiga sekatan jalan raya mulai 12.01 tengah malam semalam bagi menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh secara lebih ketat di lapan lokaliti di sini yang dikenal pasti sebagai lokasi penularan COVID-19.

Pegawai Perantara Op Penawar dari Pangkalan Tentera Udara Labuan Membedai Kapten Mohd Dhany Mohamad Sarip berkata anggota terbabit komited membantu polis dalam melaksanakan sekatan pergerakan penuh di kawasan yang terlibat secara berkesan.

“Selain membantu dari segi logistik dan aset, anggota kami juga terlibat dalam melakukan rondaan di kawasan tertentu termasuk di pinggir bandar dan kampung yang terlibat dengan penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama selepas menyiapkan pemasangan penghadang penuh di pusat bandar pada awal pagi ini.

Sekatan pergerakan penuh di lapan lokaliti itu, yang berkuat kuasa hari ini hingga 28 Jun, adalah bagi mengekang penularan COVID-19 secara lebih efektif dalam kalangan masyarakat setempat.

Labuan merekodkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 pada angka 1.66 dengan 113 kes baharu dan empat kematian setakat pagi ini.

Ketua Polis Labuan Superintenden Ahmad Jawila pula berkata penghadang jalan telah dipasang di lapan lokasi terbabit untuk menghalang lalu lintas dan orang ramai keluar masuk di kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan penuh.

“Langkah itu juga bagi membolehkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 dan mengawal penularan jangkitan secara berkesan di kawasan terbabit,” katanya.

Sekatan pergerakan penuh itu melibatkan pusat bandar (kecuali Kompleks Ujana Kewangan Labuan),   Kampung Sungai Keling, Simpang Sahari, Kampung Bukit Kalam, perkampungan air Kampung Patau-Patau 1 dan 2, Taman Perumahan Mutiara Sungai Bedaun, Kampung Layang-Layangan, Kampung Durian Tunjong dan Kampung Tanjung Aru.

Tinjauan Bernama mendapati jeti pendaratan bot yang tidak diwartakan di Ujung Pasir berhampiran pasar lama dan sering digunakan oleh penduduk Kampung Muslim iaitu sebuah petempatan yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) serta Kampung Patau-Patau, turut disekat dengan kawat berduri. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas