Berita

Anggota polis hidap barah rahang terharu jumpa bekas rakan sejawat

- Diterbit 25 Januari 2021 9:37 AM MYT

ANGGOTA polis yang terlantar di rumah akibat menghidap barah rahang, Koperal Azmi Kamarudin nyata terharu apabila menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara hari ini.

Isterinya, Noor Ifa Md Sukari, 36, berkata suaminya yang berusia 34 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan bekas rakan setugasnya di IPD Seberang Perai Utara iaitu tempat Azmi bertugas sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta rakan-rakan lain yang mengenali dirinya.

“Selepas kisah suami viral, ada bekas rakan sejawatnya dan rakan-rakan yang mengenalinya datang melawat.

“Sebelum ini, suami boleh urus diri sendiri, masih kuat semangat hendak pakai baju, pergi tandas. Tapi sekarang terlantar,” katanya ketika lawatan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor di kediamannya di sini.

Menceritakan keadaan suaminya, Noor Ifa yang juga anggota polis berpangkat Koperal di IPD Seberang Perai Utara berkata kesihatan Azmi mula merosot pada Jumaat lepas dan mendapat rawatan di Hospital Kepala Batas namun dinasihatkan supaya dibawa pulang kerana bimbang wabak COVID-19 boleh membahayakan nyawa suaminya.

Katanya, Azmi disahkan menghidap barah rahang pada 2018 oleh doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menjalani pelbagai rawatan antaranya radioterapi di Hospital Pulau Pinang namun terpaksa dihentikan kerana tidak sesuai.

“Suami kini tidak lagi mampu menguruskan diri selain bergantung harap kepada saya dan juga ibu bapa mentua yang datang dari Betong, Sarawak pada 26 Dis lepas semata-mata ingin berada di samping Azmi.

“Pada Jumaat lepas, dia dah mula kurang makan dan bergantung kepada susu. Doktor juga menasihatkan supaya suami dibawa pulang disebabkan situasi COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata pihaknya telah menyampaikan sumbangan berbentuk pampers, susu dan barangan keperluan lain bagi meringankan beban yang ditanggung Azmi sekeluarga. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas