Berita

Anggap Rizman berat sebelah, “mungkin sebab saya bukanlah artis gred A” – Natasha Hudson

- Diterbit 9 Januari 2021 12:25 PM MYT

Sejak Selasa lalu, nama Natasha Hudson menggelegak dek penularan busana putih salju yang kelihatan seperti mendedahkan bahu selain betisnya usai majlis pelancaran produk suplemen kulit Crystal C White.

Menambah plot cerita berantai apabila pereka busana berkenaan, Rizman Ruzaini meluahkan rasa kecewa apabila ia disarung oleh selebriti bertudung (Natasha) sedangkan rekaan berkenaan untuk wanita tidak bertudung.

Sejurus kenyataan pereka fesyen itu menjadi bualan, rakan kongsi yang juga orang kuat produk terbabit, Nor Shahlina Abu juga bingkas mempertahankan pandangannya.

Nor Shahlina mengakui terkilan dengan duo pereka fesyen itu kerana tidak patut melatah dengan menghentam balik waima siapa pun pemakainya. Hakikatnya busana itu dibeli dan bukannya ditaja.

Natasha yang sejak isu itu hangat bersifat neutral dan memilih untuk tidak melatah, akhirnya bangkit berkongsi hujahnya.

“Selepas diamati kenyataan pereka fesyen itu saya lihat ia berbaur peribadi dan berat sebelah. Mungkin kenyataan itu dibuatnya kerana tidak tahu siapa pembeli busana terbabit pada awalnya.

“Mungkin juga kenyataan itu dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Tapi dalam apa sudut sekalipun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati mereka. Baju itu dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.

“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati sesebuah rekaan yang bertentangan dengan imejnya, adakah mereka akan menjualnya? Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat yang ingin membeli,” katanya

Menurut pelakon filem Chermin yang dilantik sebagai wajah wakilan produk itu, dia agak terkejut dengan reaksi duo pereka itu.

“Saya bukan tidak mengenali mereka. Begitu juga sebaliknya. Saya pernah menggayakan rekaan mereka suatu ketika dulu.

“Bukan mereka tidak boleh bertanya situasi sebenar atau selidik kepada saya sebelum mengeluarkan kenyataan  balas yang disifatkan seperti menghentam.

“Saya berasakan komen mereka yang busana itu tidak sesuai untuk orang berhijab tak tepat. Sedangkan kalau kita ‘google’ busana rekaan mereka sebelum ini untuk selebriti bertudung kelas A ada yang mengenakan turban dan menampakkan leher ataupun menampakkan potongan badan.

“Apa pula pendirian mereka terhadap situasi sebegitu. Tepuk dada tanya hati,” katanya.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu bagaimanapun mengakui khilafnya saat mengenakan busana berkenaan.

“Ikutkan busana yang saya sarung itu boleh saja digayakan sesiapa pun mengikut cita rasa dan olahan gaya masing masing. Ya, saya ambil mudah melalui cara pemakaiannya. 

“Jujur saya tak sangka ia akan mencetuskan kontroversi. Malah harus saya tegaskan ia juga bukan kontroversi terancang untuk melariskan produk Crystal C White,” katanya.

NATASHA bersama Shahlina mendakwa Rizman berat sebelah

Natasha atau nama penuhnya, Natasha Liana Hudson juga berpandangan pereka fesyen itu harus memohon maaf kepada Nor Shahlina Abu.

“Kenyataan mereka mengguris hati Nor Shahlina iaitu rakan kongsi kepada Datin Reena Zach yang selama ini menjadi antara klien dan penyokong jenamanya

“Cara mereka memberi jawapan tidak tahu siapa pembeli, baju itu dibeli dengan potongan harga 90 peratus juga dilihat tidak matang dan tidak sesuai disebut. Apakah satu dosa membeli baju yang dilelong dengan diskaun rendah?

“Ia seperti membuka pekung sendiri seolah olah baju yang dibuat tidak laris sebelum potongan harga. Ingat istilah ‘customer is always right’. Sewajarnya mereka memohon maaf kepada Nor Shahlina. Dalam hal ini juga saya hanya pemakai dan ambil tanggungjawab menggalasnya biarpun diberi beberapa pilihan busana lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas