Berita

Ampak Ampak Batis muncul juara

PESERTA bergambar selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Boling Padang Tertutup Kampung Sungai Bangat baru-baru ini.
- Diterbit 1 November 2019 7:27 AM MYT

Oleh Md. Khairul Azad Yunus

LABUAN – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bangat dan Persatuan Penyayang Labuan (Penyala) bekerjasama menganjurkan Pertandingan Boling Padang Tertutup Kampung Sungai Bangat bagi memeriahkan lagi Bulan Sukan Negara (BSN) 2019.

Menurut Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Penyala, Dr. Ramli Tahir, penganjuran pertandingan itu amat bersesuaian dengan BSN yang disambut sepanjang bulan Oktober.

“Pertandingan ini merupakan satu pendekatan yang baik dalam menyuburkan amalan hidup yang sihat dan positif dalan kalangan komuniti kampung.

“Program ini bukan sekadar mencari pasukan yang menang malah ianya menjadi peluang kita saling berinteraksi sekali gus merapatkan hubungan silaturahim di antara semua penduduk kampung tanpa mengenal lapisan umur dan kaum,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah pada pertandingan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Sungai Bangat, Osman Dullah berkata, pertandingan yang disertai 16 pasukan itu merupakan salah satu program MPKK untuk memupuk gaya hidup sihat dan memeriahkan lagi BSN dengan melibatkan ahli komuniti kampung.

“Kita di Sungai Bangat tidak mahu ketinggalan membantu menghidupkan BSN dengan program-program kesukanan yang dapat menghubungkan para penduduk yang mungkin jarang bersua muka sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada urusetia serta semua peserta pertandingan yang memberi sokongan kepada program ini sekali gus memberi perangsang kepada kami untuk merancang pelbagai program komuniti di masa depan,” katanya.

Pada pertandingan selama dua hari itu, pasukan Ampak Ampak Batis yang wakili oleh Roslan, Bitah dan Sairah menjuarai pertandingan selepas mengalahkan pasukan Penyangat yang diwakili oleh Marinah, Dr. Nurzunaidah dan Yahya Bara. Tempat ketiga pula diraih pasukan Imam Muda dan tempat keempat disandang pasukan Ampai Ampai.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 2, Firdaus Abdullah dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 3, Salim Abd Rahman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas