Amerika Syarikat ucap tahniah kepada Malaysia selaku tuan rumah sidang kemuncak APEC

Amerika Syarikat ucap tahniah kepada Malaysia selaku tuan rumah sidang kemuncak APEC

KERAJAAN Amerika Syarikat mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang menyaksikan Deklarasi Kuala Lumpur diisytiharkan serta pelancaran Visi Putrajaya 2040, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur dan pelancaran Visi Putrajaya 2040 itu bakal menjadi aspirasi baharu kepada komuniti APEC bagi pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Menurutnya, ucapan itu disampaikan oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir bagi pihak kerajaan Amerika Syarikat ketika melakukan kunjungan hormat ke atas beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

“Melalui Puan Yang Terutama Kamala, saya telah menyampaikan penghargaan kerajaan Malaysia selaku hos APEC 2020 kepada Presiden Donald Trump atas penglibatan beliau mewakili Amerika Syarikat pada Sidang Kemuncak APEC yang telah berlangsung secara maya pada 20 Nov lepas,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata Kamala turut berkongsi mengenai perkembangan terkini beberapa vaksin COVID-19 keluaran syarikat bioteknologi dan farmaseutikal Amerika Syarikat yang sedang melalui proses ujian dan kelulusan Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Katanya beliau menyambut baik perkembangan tersebut dan berharap akses kepada vaksin tersebut dibuat secara adil dan saksama apabila dilancarkan kelak.

Selain itu, beliau berkata perbincangan juga tertumpu kepada beberapa hal berkaitan mempertingkatkan kerjasama dua hala termasuk bidang perdagangan, pelaburan, kewangan dan pendidikan serta isu-isu geopolitik serantau dan keselamatan antarabangsa.

“Saya akhiri pertemuan dengan menzahirkan harapan agar hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat yang terjalin sekian lama dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES