Berita

Amerika Syarikat: Pengembara berdepan isu tambang mahal, kesukaran tempah penerbangan

- Diterbit 21 November 2022 5:41 AM MYT

PENGEMBARA di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berdepan dengan isu tambang lebih tinggi, lapangan terbang lebih sibuk dan kesukaran untuk menempah penerbangan berikutan kekurangan petugas.

Persatuan Syarikat Penerbangan Serantau melaporkan penurunan dalam perkhidmatan di 76 peratus lapangan terbang AS, melibatkan kekurangan juruterbang selain isu rundingan yang terhenti antara kesatuan dan syarikat penerbangan, menurut United Press International (UPI).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif persatuan itu Faye Malarkey Black berkata kemerosotan dalam perkhidmatan mula melanda sejak 2019.

“Kami kini mempunyai lebih 500 pesawat serantau dan tiada juruterbang untuk menerbangkannya dan penarikan balik perkhidmatan udara di 324 komuniti.

“Sebanyak 14 lapangan terbang telah kehilangan semua perkhidmatan udara komersial yang dijadualkan dan jumlahnya terus meningkat,” kata beliau.

Harga purata tiket pergi dan balik domestik ialah kira-kira US$350 untuk Thanksgiving dan US$463 untuk Krismas.

Menurut Biro Statistik Buruh, tambang meningkat 43 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Lapangan terbang serantau komuniti kecil mungkin berada di kedudukan bahaya. Kira-kira 60 lapangan terbang kecil kehilangan sekurang-kurangnya separuh daripada perkhidmatan mereka. Beliau berkata sektor industri ini berada di ambang keruntuhan,” katanya.

Penumpang yang paling banyak terjejas ialah Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah Reduced Mobility Rights Roberto Castiglioni berkata kekurangan kakitangan bermakna masa menunggu yang lebih lama.

“Ia pasti menjadi lebih teruk sejak pandemik,” katanya.

Kira-kira 27 juta OKU melakukan perjalanan udara pada 2019, menurut Jabatan Pengangkutan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas