Berita

Ambil serius masalah jerebu

JEREBU
SUASANA keadaan jerebu yang kini sedang melanda negara.
- Diterbit 13 September 2019 10:04 AM MYT

MASALAH jerebu di negara ini pernah menjadi isu besar pada tahun 1997. Ketika itu penulis baru memulakan kerjaya sebagai wartawan. Masalah kebakaran hutan di negara jiran menyebabkan Malaysia menerima tempiasnya.

Kini selepas lebih 20 tahun, masalah jerebu masih tidak selesai. Malah hampir saban tahun rakyat negara ini terpaksa menahan perit akibat jerebu. Negara terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi seperti menyediakan operasi pembenihan hujan bagi meredakan keadaan jerebu.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila ia menjadi isu rentas sempadan. Ia bukan sahaja melibatkan Malaysia malah Singapura juga terpaksa berdepan masalah sama. Isu sudah menjadi topik perbincangan dalam kalangan anggota ASEAN.

Namun satu ketika dahulu, banyak pihak menuding jari kononnya yang membakar hutan di negara jiran adalah terdiri daripada syarikat-syarikat dari Malaysia yang membuka ladang di sana.

Jerebu perlu dipandang serius kerana ia membabitkan soal kesihatan. Kerajaan sendiri telah meletakkan tanda aras bahawa sekolah-sekolah perlu ditutup sekiranya angka IPU (Indeks Pencemaran Udara) mencecah 200. Keadaan ini sudah pasti bakal menjejaskan persiapan pelajar-pelajar yang berdepan dengan peperiksaan awam.

Gejala sakit tekak dan demam serta asma melibatkan orang ramai turut meresahkan terutamanya melibatkan bayi dan kanak-kanak.

Bagi Malaysia sendiri, pihak terbabit seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan perlu meningkatkan kerjasama untuk memastikan tiada perbuatan pembakaran terbuka terutama di kawasan pertanian dilakukan kerana ia akan memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedia ada dari negara jiran.

Ini memandangkan setiap tahun, jumlah ti­tik-titik panas di kawasan tertentu kian meningkat sekali gus menunjukkan kes pembakaran terbuka makin bertambah.

Pihak kerajaan juga perlu bersikap lebih tegas dalam perbincangan di peringkat pertubuhan serantau. Tanpa menolak setiap negara mempunyai hak untuk melaksanakan pembangunan, isu pembakaran kawasan hutan perlu ditangani dengan lebih serius. Kerana ia bukan lagi isu domestik sesuatu negara.

Kaedah pembakaran terbuka untuk membuka atau membersihkan kawasan pertanian tidak wajar diteruskan sebagai amalan.

Dengan inovasi dan teknologi moden, sebarang kegiatan pertanian sepatutnya mampu memastikan kelestarian kawasan hutan. Rantau ini bernasib baik kerana dianugerahkan dengan nikmat kadar taburan hujan yang tinggi. Tetapi ia bukan satu alasan untuk membiarkan kaedah tidak lestari terus digunakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas