Berita

Aktiviti perhimpunan dilarang di Labuan

- Diterbit 16 Oktober 2020 11:46 PM MYT

SEMUA aktiviti yang melibatkan perhimpunan orang ramai adalah dilarang sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan yang akan dilaksanakan mulai hari ini sehingga 30 Oktober.

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Nurzaliza Kartika Abdullah berkata, semua aktiviti tersebut termasuklah persidangan, taklimat, kursus dan pameran adalah dilarang bagi memasti penularan pandemik COVID-19 dapat dikekang.

Katanya, perhimpunan sosial seperti kenduri-kendara, majlis bacaan tahlil, majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis ulang tahun dan majlis akikah juga dilarang.

“Majlis rasmi dan tidak rasmi bagi sektor kerajaan mahupun sektor swasta juga tidak dibenarkan ketika tempoh PKPB.

“Latihan dalam perkhidmatan yang
sedang berjalan boleh dilaksanakan hanya dalam kawasan institusi latihan sahaja,” katanya pada pemberita semasa sesi taklimat mengenai prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Labuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi acara dan pertandingan sukan yang membabitkan kehadiran penonton (pengunjung) dan sukan yang melibatkan penyertaan peserta dari luar negeri adalah tidak dibenarkan.

“Aktiviti di kawasan tertutup (indoor), berkelah, aktiviti kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal, sukan tempur, aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan aktiviti penganjuran kejohanan atau pertandingan tidak dibenarkan.

“Aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan ke dalam kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas