Berita

Aktiviti kebajikan, perniagaan jadi fokus Anggun

ANTARA aktiviti dan program bantuan yang dilaksanakan oleh anggun dalam menyatuni warga memerlukan di sekitar Putrajaya.
- Diterbit 29 November 2020 6:38 AM MYT

PENUBUHAN Kelab Generasi Beliawanis Anggun Putrajaya (Anggun), kira-kira sebulan lalu, antara inisiatif mempergiat aktiviti berkebajikan dengan fokusnya kelompok rakyat di peringkat akar umbi.

Kewujudan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGo) itu akan menyemarakkan program kesukarelawan baharu sekitar Putrajaya selain menjadi platform menggerakkan organisasi secara teratur dengan impak bermanfaat kepada warga memerlukan.

Menurut Pengerusi Anggun, Noor Laila husin, kewujudan NGo ini untuk menyediakan platform interaktif bagi wanita berusia antara 18 tahun sehingga 40 tahun, mempelajari ilmu asas dalam perniagaan serta keusahawanan yang berpotensi diterokai.

“Selain itu Anggun berperanan sebagai perantara kepada sesuatu organisasi melaksanakan aktiviti kebajikan. Kami komited mendidik wanita muda setempat menjadi proaktif, berhemah dan fokus dalam melaksanakan sesuatu perkara.

“Setakat ini, kami telah laksanakan tiga program iaitu sumbangan PBSM dikelolakan oleh Anggun, Hi Tea Penyayang dan Program Prihatin Covid-19 dijayakan 15 November lalu,” kata beliau.

Menurut wanita cekal yang berusia 30-an itu, pelbagai program baharu akan dilaksana Anggun dari semasa ke semasa, antaranya sumbangan barangan asas kepada wanita muda mempunyai ramai anak.

Selain itu katanya, sumbangan juga diberi kepada ibu tunggal, golongan asnaf serta orang kurang upaya (oKU) berumur 18 hingga 40 tahun selain bantuan makanan asas kepada frontliners serta pelbagai lagi aktiviti yang sedang dirancang.

“Melalui Anggun ahli akan berpeluang membina, mengukuhkan potensi serta personaliti diri selain mendapat pendedahan inklusif ilmu perniagaan serta keusahawanan yang berpotensi membuka peluang bagi setiap ahli kami menjana pulangan pendapatan,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas