Atlet Wilayah

Ain Najwa idam cipta pelbagai kejayaan

AKSI Ain Najwa ketika SUKMA XX MSN 2022.
- Diterbit 19 Mac 2023 6:00 AM MYT

ATLET silat Wilayah Persekutuan, Ain Najwa Muhamad Basri Darul, mahu lebih ramai masyarakat Malaysia mahir dalam seni bela diri yang juga merupakan warisan turun temurun.

Menurut atlet berusia 24 tahun itu, rugi seandainya mereka tidak mendalami seni Nusantara Melayu yang semakin popular dalam kalangan warga asing kini.

“Rugi sekiranya seni mempertahankan diri yang dikatakan telah wujud ribuan tahun dahulu di
tanah Melayu ini tidak dipelajari dan seterusnya gagal melahirkan pelapis muda yang memperjuangkannya.

“Jika diikutkan semua orang perlu mempelajarinya kerana ia bukan sahaja sekadar untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh bahkan silat mampu menjadikan diri berani di samping meningkatkan keyakinan.

“Saya akan terus memperjuangkannya dan mencipta lebih banyak kejayaan untuk membuktikan keunggulan legasi Melayu ini. Diharapkan bukan sahaja di Malaysia bahkan silat akan terus bersinar di mata dunia,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut tentang keterujaannya terhadap silat, menurut atlet dalam kategori tunggal puteri ini, dia mula bergiat aktif pada tahun 2012 yang mana ketika itu dia mendapat sokongan padu daripada seluruh keluarga untuk lebih serius.

“Dengan keizinan tersebut juga saya mampu berada di tahap ini. Ternyata restu ibu bapa membawa kepada kejayaan,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini.

Menjadikan guru dan jurulatihnya, Halim Hamit sebagai idola, bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang, Selangor itu berkata dia beruntung kerana dapat berlatih dan mencungkil ilmu bersama bekas atlet tersebut.

“Kata orang, kalau kita mahu menjadi juara perlu berguru dengan juara, jadi saya gunakan kesempatan tersebut dengan sebaiknya. Beliau banyak memberi nasihat supaya saya bermain dengan tenang dan tidak terburu-buru agar tidak gentar di gelanggang.

“Sukan silat sebenarnya nampak macam mudah namun tanpa kekuatan mental seseorang pemain tersebut tidak mampu beraksi dengan cemerlang,” ujarnya seseorang atlet juga tidak akan terlepas daripada risiko kecederaan namun mereka perlu sentiasa bersedia daripada segi mental walaupun dibelenggu kecederaan ringan mahupun serius. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas