Berita

‘Aidilfitri@Dataran Merdeka’ 28 Mei

PROGRAM tersebut menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. PROGRAM tersebut menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- Diterbit 22 Mei 2022 12:00 PM MYT

SELEPAS larangan sambutan apa-apa majlis untuk tempoh dua tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bakal menganjurkan Sambutan Aidilfitri@Dataran Merdeka pada Sabtu, 28 Mei ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program yang dianjurkan ini bermula dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Program anjuran JAWI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakan dengan kerjasama rakan strategik akan menghimpunkan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi menyediakan 120 gerai pelbagai menu dan juadah secara percuma untuk dinikmati oleh orang ramai,” katanya dalam majlis Perhimpunan Bulanan Warga JAWI dan Sambutan Hari Guru pada Isnin.

Mohd Ajib berkata, majlis tersebut akan menggunakan konsep yang sama ketika pertama kali dianjurkan pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Acara berkenaan turut menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBR) dalam Penganjuran Masjid Paling Banyak Dalam Acara Rumah Terbuka Hari Raya,” katanya.

Tambahnya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut dijangka hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.

Katanya, program yang dianjurkan pada 2019 menarik kehadiran 20,000 pengunjung pelbagai latar belakang dengan menu tarikan utama adalah kambing golek dan durian.

Ia turut tersenarai di dalam Malaysia Book of Records bagi Penganjuran Masjid Paling Banyak Dalam Acara Rumah Terbuka Hari Raya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas