Berita

Aidiladha: Lebih 2 juta kenderaan dijangka guna Lebuh Raya Karak, LPT1

MENJANGKAKAN sejumlah 2,352,000 kenderaan. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 4 Julai 2022 8:09 AM MYT

PENGENDALI Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan sejumlah 2,352,000 kenderaan bakal menggunakan lebuh raya berkenaan sempena sambutan Aidiladha, bermula 8 hingga 11 Julai ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata susulan itu pihaknya telah mengambil beberapa langkah termasuk penambahan petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.

“Pertambahan ini juga membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti lebuh raya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua Hentian Sebelah dan Kawasan Rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya juga telah mencadangkan beberapa waktu perjalanan menerusi Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) demi menjamin keselesaan pengguna lebuh raya tersebut.

“Antara cadangan waktu perjalanan pada 8 Julai (Jumaat) dan 9 Julai (Sabtu) bagi penguna lebuh raya daripada Kuala Lumpur atau Selangor memasuki Plaza Tol Gombak adalah 10 pagi hingga 1 tengah hari ke Pahang, pukul 6 pagi hingga 10 pagi pula menuju ke Terengganu serta Kelantan.

“Bagi perjalanan ke semua destinasi, waktu perjalanan bebas pada 12 tengah malam hingga 6 pagi,” katanya.

“Selain itu kenderaan ringan disarankan elak memasuki plaza tol pada waktu 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam kerana ini merupakan waktu perjalanan bas ekspres ke destinasi Pantai Timur memasuki Tol Gombak pada tarikh-tarikh berkenaan,” katanya.

Jelasnya pada 11 Julai (Isnin) pula pengguna dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya tersebut pada 6 pagi hingga 10 pagi untuk pengguna daripada Pahang, manakala pengguna dari Terengganu dari 10 pagi hingga 1 tengah hari dan untuk semua destinasi adalah pada pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Untuk maklumat lanjut, pengguna lebuh raya boleh merujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik atau Facebook@Lembaga Lebuhraya Malaysia serta @Lebuhraya Pantai Timur atau menghubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas