Berita

Ahli Parlimen Belia gesa kerajaan benarkan sektor gunting rambut dibuka

- Diterbit 25 Januari 2021 10:22 AM MYT

SEKTOR perkhidmatan gunting rambut dan salun antara yang paling teruk terjejas pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Selepas pelaksanaan PKP pada 13 Januari lalu, sektor ini sekali lagi terkena tempias yang hebat apabila terpaksa ditutup operasi ekoran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan, menjelaskan kebimbangan terhadap penutupan sektor ini buat pendandan yang premisnya telah ditutup.

“Saya menggesa dan menyarankan kerajaan untuk membenarkan kedai gunting rambut dan salun beroperasi semasa PKP mengikut SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) .

“Kerajaan perlu meneliti dan menimbangkan perkara ini dengan kadar segera kerana bimbang mereka akan kehilangan sumber pendapatan dan terpaksa menggulung tikar kerana tidak dapat membayar sewa dan lain-lain.

“Ramai pendandan rambut terpaksa menjalankan perniagaan secara ‘rahsia’ di rumah pelanggan dan ini akan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan punca jangkitan sekiranya ada wabak tempatan,” kata Abdul Hakim dalam satu kenyataan.

Dia turut menyuarakan hasratnya supaya kerajaan mengambil tegas perkara ini supaya negara dapat mengawal peningkatan jumlah pengangguran terutamanya dalam kalangan belia pada jangka masa pendek ini.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan saranan saya untuk membenarkan kedai gunting rambut dan salun beroperasi semasa PKP,” ujarnya lagi. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas