Selera

Ahh Yum sajian tanpa MSG, pengawet

||MEE Rebus.|NASI Lemak Bashmati Beef Rendang|
- Diterbit 20 Disember 2020 4:36 AM MYT

PENULARAN wabak COVID-19 menyebabkan semua pergerakan terbatas.

Malah sejak awal tahun lalu, penulis tidak berpeluang untuk pulang ke kampung halaman di utara tanah air. Walaupun semasa sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Sudah pasti, masakan bonda sangat dirindui terutama rendang daging yang menjadi hidangan wajib setiap kali sanak saudara berkumpul.

Dek kerana itu, ketika berjalan-jalan di Suria KLCC, penulis tanpa sedar terus melangkah ke sebuah ‘outlet’ selepas terpandang menu Nasi Lemak Basmathi Beef Rendang.

Pada asalnya, penulis ragu-ragu untuk membeli kerana menyangkakan ia produk bukan Islam kerana ‘Ah’ sinonim dengan nama panggilan komuniti Cina, tetapi selepas bertanya lanjut kepada pekerja di situ, ‘Ahh Yum’ merujuk kepada sebutan ‘ayam’ dan kata seruan yang menggambarkan kesedapan.

NASI Lemak Bashmati Beef Rendang.

Namun, aroma hidangan yang dijual di Ahh Yum by Kampung Kravers itu membuatkan penulis kecur air liur walaupun baru sahaja menikmati sarapan.

Tanpa berlengah, Nasi Lemak Basmathi Beef Rendang dinikmati. Rasa rendang yang pekat dan kaya dengan rempah ratus membuatkan penulis seolah-olah berada di kampung halaman.

Ditambah rasa pedas yang sesuai dengan selera masyarakat Melayu. Daging yang dipotong dadu memudahkan setiap suapan masuk ke mulut. Lebih menyelerakan apabila dimakan ketika panas kerana daging yang dihidang tidak liat dan lembut dikunyah.

Bagi menghilang rasa dahaga, penulis mencuba air Beetroot Sirap Selasih yang merupakan salah satu minuman kesukaan pelanggan Ahh Yum.

Menariknya minuman ini, ia diperbuat daripada bahan-bahan segar dan dihasilkan setiap hari bagi memastikan kualitinya terjamin.

Sesuai dengan slogan ‘Kampung Kravers’, setiap menu yang disediakan Ahh Yum menepati citarasa ‘kampung’ khususnya minuman selain turut mengutamakan khasiat dan ‘keselamatan makanan’.

Bak kata Penolong Pengarah (Pemasaran), Atikah Abd Rani, pihaknya menyajikan makanan yang tiada perasa tambahan (MSG) mahupun bahan pengawet.

MINUMAN daripada bahan-bahan segar.

“Malah pewarna tiruan juga tidak diletakkan dalam masakan. Seperti sirap  selasih, warna merah yang dilihat adalah ekstrak daripada ubi bit.

“Bagi Nasi Bunga Telang, warna biru yang hadir adalah hasil daripada bunga telang sendiri,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Atikah, pihaknya juga sentiasa mengutamakan bahan mentah segar, malah mempunyai ‘Dapur Halal’ yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor.

“Dari situ, bahan mentah diproses sebelum dihantar ke sembilan cawangan sekitar antaranya, Bukit Damansara, Institut Jantung Negara (IJN), Wangsa Walk Mall dan Menara Allianz Sentral.

“Pertama kalinya, Ahh Yum membuka cawangan berkonsepkan medan selera di Suria KLCC,” jelasnya sambil menambah Ahh Yum dahulunya dikenali sebagai Kampung Kravers.

Tambahnya, pelanggan seharusnya menikmati makanan tanpa rasa bimbang tentang kandungan di samping mendapat khasiat yang sepatutnya.

MEE Rebus.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas