Berita

Agong titah usaha basmi kemiskinan diberi keutamaan

AL-SULTAN ABDULLAH bersama Tunku Azizah Maimunah Iskandariah berada di singgahsana pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Selasa lalu. FOTO Unit Jabatan Penerangan.
AL-SULTAN ABDULLAH bersama Tunku Azizah Maimunah Iskandariah berada di singgahsana pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Selasa lalu. FOTO Unit Jabatan Penerangan.
- Diterbit 2 Ogos 2019 4:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya usaha membasmi kemiskinan diberi keutamaan menerusi pelaksanaan kerajaan dalam menyusun semula rancangan pembangunan dan mengukuh fiskal negara.

Seri Paduka turut menyambut baik usaha untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti, memerangi rasuah serta mempertahankan keluhuran undang-undang yang diperkemaskan pada masa ini.

Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang berpengalaman luas lagi bestari, akan dapat mengharungi apa juga rintangan mendatang dan seterusnya membawa negara ke mercu kejayaan.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan beta yang berpanda­ngan jauh dalam merencana gagasan ekonomi baru yang dinamakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Beta berharap usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan turut diberikan keutamaan. Kitaran warisan kemiskinan wajar ditangani segera kerana ia bakal menjejas agenda pembentukan negara maju,” titah Sultan Abdullah pada Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara, Selasa lalu.

Pada Istiadat Pertabalan yang dihadiri Raja-Raja Melayu dan tetamu diraja luar negara, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ seiring keberangkatan masuk pasangan diraja itu.

Ketibaan Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.

Sultan Abdullah berkenan menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas