Berita

Agong, Permaisuri zahir tahniah kepada Leong, rakyat Malaysia pertama terima anugerah WFEO

MENZAHIRKAN ucapan tahniah kepada Prof Dr Leong Wai Yie, rakyat Malaysia pertama menerima anugerah. Kredit foto: FACEBOOK ISTANA NEGARA
- Diterbit 21 April 2022 5:21 AM MYT

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Prof Dr Leong Wai Yie, rakyat Malaysia pertama menerima anugerah daripada Persekutuan Pertubuhan-Pertubuhan Kejuruteraan Sedunia (WFEO).

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Leong yang menerima anugerah ‘2021 WFEO Gree Women in Engineering Award’ sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Pencapaian cemerlang beliau sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan harapan agar pencapaian Leong menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada dalam negara mahupun di persada dunia.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Leong dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Leong menerima anugerah tersebut pada majlis anugerah ‘WFEO Gree Women in Engineering 2021’ yang berlangsung di Paris, Perancis, baru-baru ini.

Menurut Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET), anugerah ‘Gree Women in Engineering Award’ yang bermula pada 2018 bertujuan mengiktiraf jurutera wanita yang cemerlang.

Antara pencapaian cemerlang Leong ialah menubuhkan program bimbingan wanita dalam kejuruteraan untuk lebih 1,000 jurutera wanita. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas