Atlet Wilayah

Adib fokus sepak takraw

SUKAN sepak takraw sebati dalam jiwa Muhammad Adib. SUKAN sepak
- Diterbit 21 November 2021 1:00 AM MYT

ATLET  sepak takraw Wilayah Persekutuan, Muhammad Adib Mizan, 21, berharap agar sukan sepak takraw mendapat tempat di mata dunia seterusnya menjadikannya acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, usaha keras daripada semua pihak amat diperlukan.

Malah ujarnya, sukan sepak takraw perlu dimainkan sekurang-kurangnya di 75 buah negara di seluruh dunia.

Pun begitu, baru-baru ini, peminat sepak takraw teruja apabila acara pertandingan Liga Sepak Takraw (STL) bakal disiarkan di saluran All Sports Television Network (ALL SPORTS) yang berpangkalan di Amerika Syarikat hasil usaha sama bersama sebuah televisyen tempatan.

“Bagi saya, ini merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan sepak takraw kepada masyarakat Amerika dan ia peluang untuk menarik minat mereka untuk turut serta dalam sukan ini.

“Selain daripada itu, saya juga berharap adanya siri jelajah pemain sepak takraw ke negara-negara luar untuk mengetengahkan sukan yang unik ini kepada mata dunia. Dengan adanya usaha ini, saya yakin ia boleh pergi lebih jauh,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya pula, pelajar jurusan Diploma Pengajian Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bakal beraksi pada kejohanan Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) bulan hadapan.

“Setelah sekian lama tidak beraksi, ini merupakan antara acara pemanas badan sebelum beraksi pada kejohanan yang lebih besar dalam masa terdekat,” ujarnya yang berada di posisi tekong.

Bercerita lanjut tentang minatnya dalam sukan sepak takraw, Muhammad Adib berkata, dia bersyukur kerana keluarga tidak pernah menghalang malah sentiasa memberi semangat kepadanya.

“Alhamdulillah, jiwa saya memang sejak kecil lagi meminati sukan ini dan saya dapat merasakan masa hadapan saya cerah untuk terus berada dalam sukan sepak takraw ini,” ujar anak kedua daripada lima orang adik-beradik ini. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas