Adakah Malaysia akan pertimbang undi pos semasa COVID-19

Adakah Malaysia akan pertimbang undi pos semasa COVID-19

PILIHAN raya negeri Sabah baru saja berakhir, namun Malaysia kini berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19, yang puncanya didakwa kononnya akibat daripada kecuaian dan keselesaan sepanjang tempoh berkempen itu.

Mengakui langkah-langkah pengawalan sebelum ini tidak memadai untuk membendung lonjakan kes berikutan pilihan raya negeri Sabah, kerajaan kini telah mengeluarkan perintah larangan pergerakan yang berbeza-beza untuk Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

Oleh kerana Malaysia dijangka berhadapan dengan beberapa pilihan raya tidak lama lagi – iaitu pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada bulan Disember dan pilihan raya negeri Sarawak pada Jun tahun hadapan, dan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam setahun ini – para pakar kesihatan awam melahirkan rasa kebimbangan kemungkinan berulangnya keadaan seperti di Sabah selagi wabak itu masih aktif dan tidak ada lagi vaksin yang berkesan.

Atas alasan itulah mereka menggesa agar diperkenalkan kaedah undi melalui pos atau pengundian tanpa kehadiran.

“Pengundian melalui pos boleh dilaksanakan. Orang ramai boleh mengemukakan undi pos dan dikira,” kata Prof Dr Marzuki Isahak, pakar di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Malaya.

Beliau berkata, Malaysia perlu mendorong sebarang sistem pengundian yang akan menghalang orang ramai daripada berkumpul di satu tempat untuk mengundi.

Dr Mas Ayu Said, ahli epidemiologi di Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan di Universiti Malaya, turut bersetuju dalam perkara ini.

“Kita benar-benar harus bersiap sedia (untuk pengundian). Kita tidak mahu berulangnya apa yang kita lalui di Sabah. Kita perlu memikirkan kaedah lain untuk melaksanakan pilihan raya,” katanya.

Sehingga 18 Okt, 443 pengunjung Sabah yang kebanyakannya terlibat dengan pilihan raya, dikesan positif COVID-19 dan menghasilkan sekurang-kurangnya 24 kluster di bahagian lain di Malaysia. Dari angka satu digit pada bulan Ogos, Malaysia mencatat kes harian tertinggi iaitu 871 pada 18 Okt.

Oleh itu, adakah pilihan raya bakal menjadi satu lagi perkara yang harus disesuaikan oleh rakyat Malaysia untuk melakukan penjarakkan susulan wabak itu?

Memang mudah untuk bercakap, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Walaupun Malaysia memang mempunyai sistem undi melalui pos, tetapi untuk melaksanakannya kepada semua orang kemungkinan sesuatu yang mustahil buat masa sekarang.

UNDI POS

Kini, beberapa kumpulan dibenarkan untuk mengundi melalui pos. Mereka termasuk pekerja penting seperti pekerja penjagaan kesihatan, polis, diplomat dan kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara. Rakyat biasa Malaysia yang tinggal di negara ini, bagaimanapun, tidak memenuhi syarat untuk mengundi melalui pos.

Sebelum COVID-19, Malaysia tidak begitu berhasrat untuk meluaskan kaedah pengundian melalui pos dan hanya membenarkannya kepada rakyat Malaysia di luar negara yang dimulakan pada tahun 2013. Sebelum itu, ahli politik dan kumpulan yang dikategori sebagai pengundi melalui pos meliputi mereka dengan unsur kecurigaan, dakwaan bahawa ia lebih rentan terhadap penipuan dan oleh itu perlu mendapatkan pemeriksaan dan keselamatan yang lebih tinggi.

Anggota SPR, Zoe Randhawa kelihatan agak resah ketika dikemukakan dengan idea agar membuka undi pos kepada berjuta-juta orang ramai pada PRU15, di samping memastikan semuanya dilakukan dengan betul dan telus dalam masa yang singkat.

“Akan ada kecenderungan di Malaysia untuk tidak mempercayai pilihan raya kami, (sama ada) betul atau salah. Oleh itu, kita tidak boleh memperkenalkannya dan kemudian orang ramai tidak mempercayai sistem ini. Dan ini sebenarnya boleh mendatangkan akibat yang buruk dan orang ramai tidak mahu mengguna sistem ini untuk undi pos mereka,” katanya.

Beliau berkata, SPR merancang untuk memperluas pengundian secara pos ke beberapa kumpulan lagi seperti mereka yang sakit, dimasukkan ke hospital dan dipenjarakan, walaupun belum ada tarikh akhir khusus untuk menentukan bila mereka akan dimasukkan dalam senarai rasmi itu.

Beliau berkata, kumpulan lain juga sedang dipertimbangkan – rakyat Malaysia yang tinggal di negara dan zon sempadan seperti Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Kalimantan – kerana COVID-19.

Tidak seperti rakyat Malaysia di luar negara yang lain, mereka yang tinggal di kawasan ini tidak boleh mengundi melalui pos kerana jaraknya dekat dengan negara ini. Pada PRU13 dan PRU14, pengundi di sana diminta melintasi sempadan dan pulang untuk mengundi.

Tetapi dengan penularan wabak itu, perbatasan ditutup dan sekiranya diadakan pilihan raya umum tatkala wabak masih aktif, golongan rakyat Malaysia ini tidak akan berpeluang mengundi.

Thomas Fann, pengasas dan ketua Bersih 2.0, sebuah kumpulan bukan kerajaan yang menganjurkan pilihan raya bebas dan adil, berkata, adalah penting untuk memastikan perintah larangan pandemik tidak menjejaskan hak pengundi.

“Dengan perkembangan COVID-19, keperluan untuk mengundi dengan selamat tanpa melakukan perjalanan terlalu jauh sangat, sangat penting,” katanya.

Susulan wabak ini juga, jumlah pengundi pos dari kumpulan yang layak sekarang dijangka meledak kerana semua larangan perjalanan dikuatkuasakan bukan sahaja di negara ini malahan di dunia.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara berjumlah lebih 1.7 juta pada tahun 2019. Kira-kira 46 peratus daripadanya tinggal di Singapura, kumpulan terbesar rakyat Malaysia di luar negara menurut Bank Dunia.

Biasa berurusan dengan ribuan pengundi pos – pada tahun 2018, SPR menerima 7,979 permintaan – SPR mungkin harus berurusan dengan SEKURANG-KURANGNYA puluhan ribu sekarang ini.

Oleh yang demikian, Randhawa berkata, mereka harus memperkukuhkan proses pengundian melalui pos dari awal hingga akhir, dari saat memproses aplikasi hingga mencetak dan mengirim surat undi, dan kemudian untuk menerima dan memproses undi tepat pada waktunya.

Bagaimanapun, satu kumpulan yang diputuskan oleh SPR tidak akan dimasukkan dalam daftar pemilih pos ialah warga emas, yang menurut doktor adalah golongan yang paling terdedah kepada Coronavirus.

TIADA UNDI POS UNTUK WARGA EMAS

Beberapa negara akan mengadakan pilihan raya dalam beberapa bulan akan datang, dengan yang paling terkenal ialah Amerika Syarikat. Terdapat desakan berterusan oleh pelbagai kumpulan hak kebebasan bersuara mengundi untuk mendorong warga emas, yang berisiko tinggi mati akibat COVID-19, untuk mengundi melalui pos.

Yang menimbulkan persoalan, mengapa Malaysia tidak melakukan perkara yang sama untuk warga emasnya?

Menurut Randhawa, SPR telah mempertimbangkan untuk memasukkan pengundi warga emas sebagai pengundi pos tetapi akhirnya menolak idea itu atas beberapa sebab.

Yang utama ialah pihak suruhanjaya tidak mempunyai kemampuan untuk memproses permohonan dan undi pos oleh warga emas – mereka yang berumur lebih 65 tahun terdiri daripada 2.3 juta penduduk – pada waktu ini.

“Kita tidak dapat membuka pengundian pos kepada sejumlah besar orang tanpa memiliki kemampuan untuk memastikan integriti bagi proses itu,” katanya.

Randhawa berkata, SPR juga tidak mahu mempertaruhkan warga emas dengan memberikan undi yang rosak kerana mereka lebih cenderung melakukan kesilapan.

Beliau berkata, undi pos sudah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk ditolak kerana memerlukan pengundi untuk mengisi borang pengakuan identiti dengan cara tertentu.

“Tidak ada peraturan khusus untuk mengizinkan kesalahan kecil dalam bentuk sehingga kesalahan kecil membolehkan undi ditolak,” katanya.

Menurut blog pengumpul politik FiveThirtyEight dan kajian yang dilakukan mengenai sistem pengundian tidak hadir di Amerika Syarikat, undi pos yang dilampirkan mempunyai kadar penolakan hingga tiga kali ganda berbanding dengan undi biasa. Tetapi penolakan kebanyakannya disebabkan oleh tidak berpengalaman, bukannya sebab usia.

ISU KETIDAKSAHAN

Randhawa berkata, SPR akan terus berusaha memperbaiki sistem pengundian tidak hadir dan menjadikan pilihan raya lebih mudah diakses sebagai persiapan menghadapi keadaan darurat yang lain pada masa akan datang.

Namun, banyak perubahan ini mungkin tidak dapat siap sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, pada tahun hadapan.

Walaupun banyak yang mempersoalkan kebijaksanaan mengadakan pilihan raya yang cepat semasa wabak – dianggarkan kosnya RM1.2 bilion – kebanyakan ahli politik bersetuju bahawa pilihan raya adalah satu-satunya cara untuk mengakhiri kekacauan politik yang telah merosakkan politik Malaysia sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari. Kerajaan gabungan Perikatan Nasional ketika ini telah menolak tuduhan tidak sah sejak itu.

Ahli sains politik Universiti Malaysia Sabah Dr Syaruddin Awang Ahmad berkata pilihan raya tidak boleh ditangguh sehingga tahun 2023, iaitu jadual sebenar PRU15, tetapi ia mesti diadakan tidak lama selepas keadaan COVID-19 terkawal.

“Semasa COVID-19, keadaan terburuk dalam kehidupan adalah hidup dengan kebuntuan politik, yang saya fikir (tidak akan dapat) menghasilkan sebarang perancangan untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat.

“Sehingga kita setidak-tidaknya dapat mengendalikan atau meratakan lekuk seperti yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan, sehingga kita sangat yakin bahawa kita dapat … membuka semua sektor, maka itu adalah masa yang tepat untuk kita menjalankan PILIHAN RAYA umum,” katanya.

Fann bersetuju tetapi dengan beberapa peringatan. Beliau berkata pilihan raya tidak boleh diadakan sehingga SPR selesai dengan pendaftaran pemilih automatik dan beberapa perubahan pada sistem pengundian pos telah dilaksanakan.

Aktivis kebebasan hak bersuara itu berkata, mengadakan pilihan raya ketika dalam perintah larangan semasa pandemik yang meledak akan melucutkan hak ramai pengundi, sesuatu yang akan memberi bayangan tentang kesahihan pemenang calon.

“Apabila anda mempunyai jumlah pengundi yang rendah, itu tetap sah, tetapi hakikat bahawa jika kurang daripada 50 peratus orang tidak mengundi, anda tidak dapat keyakinan bahawa inilah pemerintah yang mewakili semua,” katanya.

Beliau berkata, kumpulannya telah melihat kesan COVID-19 terhadap pilihan raya, jumlah pengundi yang pergi mengundi pada pilihan raya Sabah mencatatkan 66.61 peratus berbanding 82.32 peratus PRU14.

Untuk membantu mencegahnya, beliau berkata SPR memerlukan tempoh kempen 21 hari untuk memberi cukup masa untuk undi pos tiba.

“Setiap undi dikira. Setiap pengundi adalah penting,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES