Berita

Ada apa dengan Kampung Baru?

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN kini merangka pendekatan pembangunan baru untuk tempoh 20 tahun akan datang sepertimana ditetapkan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040. PEMANDANGAN kawasan perumahan suasana kampung bertempat di
- Diterbit 2 Julai 2020 5:26 AM MYT

TANAH seluas 223 ekar di tengah-tengah ibu kota merupakan perkampungan terakhir orang Melayu di Kuala Lumpur. Penempatan yang asalnya tanah kurnia Sultan Selangor, sejak dulu sering menjadi perhatian di atas faktor kedudukan strategik dan harga tanah yang tinggi.

Nilai tradisi yang menyumbang kepada populariti kawasan itu turut menerima
tempias urbanisasi di sekelilingnya yang kini dihiasi dengan bangunan pencakar
langit.

Namun, dari sisi lain Kampung Baru kini berdepan dengan stigma bahawa ia
menjadi penempatan warga asing, kejiranan yang kotor dan tidak terurus.

Wilayahku merakam pandangan geostrategis terkemuka Profesor Madya Dr Azmi Hassan untuk merungkai persoalan seputar Kampung Baru dari kacamata ahli
akademik selain mengangkat suara penduduk tempatan yang kami temui di kawasan tersebut Menurut Pensyarah Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia dan Geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hassan cadangan untuk membangunkan semula Kampung Baru adalah usaha yang baik dan ia perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan kepada penduduk asal dan mengekalkan ‘semangat’ Kampung Baru itu sendiri.

“Pembangunan ini perlu dikawal sepenuhnya oleh kerajaan supaya identitinya kekal dan dari sudut komersial, ia harus mengambil kira kedudukannya yang berdekatan dengan pusat bandar.

“Oleh yang demikian, apa yang dilihat kini berlaku tarik tali dalam proses pembangunan itu kerana kepentingan komersial melebihi kepentingan terhadap
asas keperluan kawasan itu sendiri,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Azmi memberitahu, dalam hal yang berkaitan dengan pembangunan semula, kebiasaanya dua entiti berkepentingan yang akan bertembung iaitu pihak komersial dan pemilik tanah asal.

“Sekiranya kita mengambil kedua-dua entiti ini, ia memang sukar untuk  diselesaikan kerana ia bertentangan antara satu sama lain.

“Terdapat satu lagi entiti yang perlu diambil kira adalah iaitu masyarakat majoriti yang terdiri dari dalam kalangan orang-orang melayu yang tidak ada kena mengena dengan hak milik tetapi mereka menjulang semangat Kampung Baru dan pendapat mereka juga perlu diambil kira,” katanya.

Menurut Azmi, pemilik asal juga mahukan keuntungan kerana dalam situasi semasa, mereka tidak mendapat manfaat dari segi kewangan.

Dari sudut komersial pula, mereka mahukan keuntungan dalam perkara ini.

“Kampung Baru ini amat unik kerana kita tidak boleh melihat dari kepentingan
pemilik sahaja malah semua pihak perlu melihat secara keseluruhannya kerana ia ada kaitan langsung dengan pembangunan negara sejak dari kemerdekaan sehingga hari ini.

“Sekiranya kehendak majoriti perlu diambil kira, maka kerajaan boleh menggubal dasar yang agak drastik yang tidak terlalu mengambil kira kepentingan pemilik dan komersial sebalik mengutamakan denyut nadi kawasan itu sendiri,” katanya.

Di sebalik isu pembangunan semula yang menjadi perbincangan utama pelbagai
pihak, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) telah membangunkan satu kawasan yang diberi nama UDA Legasi namun sehingga kini ia masih tidak dapat dijual sepenuhnya dan salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah kerana kawasan itu telah kini dikenali sebagai penempatan warga asing.

KWP PERLU GUBAL DASAR BARU PASCA COVID-19

Azmi berkata, ia berkait rapat dengan stigma dan persepsi terhadap Kampung Baru yang turut dikaitkan dengan penempatan warga asing yang kini telah berubah
menjadi kawasan setinggan selain masalah sosial yang meningkat.

“Ada beberapa pangsapuri yang berada di dalam kawasan itu mempunyai kualiti yang baik dan lokasi yang tidak perlu didebatkan lagi namun ia berkait dengan persepsi dan stigma.

“Faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu adalah komposisi penduduk
di kawasan itu adalah orang luar yang menyewa dan mereka tidak mempunyai semangat untuk menjaga kawasan itu,” katanya.

Bagi menyelasaikan masalah tersebut, Azmi menyarankan agar kerajaan melakukan
tindakan drastik termasuklah menggubal dasar baru yang dapat diterima oleh kedua-dua belah pihak untuk membangunkan kawasan itu dengan mengambil kira kesan pendemik yang menyebabkan beberapa polisi yang berkaitan dengan warga asing dilaksanakan.

“Secara strategiknya, Kerajaan Persekutuan perlu memberi mandat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk mengadakan satu pemangkin bagi membuat satu keputusan dan dasar yang drastik dan ia diperlukan bagi tujuan itu.

“Walaupun ia tidak diterima oleh pemilik dan pihak komersial, tetapi untuk kepentingan negara ia perlu dilakukan oleh KWP,” katanya.

“Sekiranya tiada isu yang berkaitan dengan pendemik Covid-19 dan warga asing tidak dibenarkan bekerja di pasar borong. Sudah tentu orang ramai mempersoalkan
keputusan itu.

“Ia sama seperti isu warga asing yang mendiami kawasan ini, jadi gunakan isu yang
berkaitan dengan pendemik Covid-19 ini untuk melakukan pembersihan di Kampung Baru,” katanya.

Katanya, KWP perlu mengeluarkan arahan pembersihan warga asing di kawasan itu dan ia sememangnya tidak disukai oleh pemilik kerana warga asing ini menyewa premis milik mereka dan pemilik meraih manfaat.

“Ini memerlukan satu langkah awalan untuk membangunkan Kampung Baru supaya semua pemilik dan pewaris mendapat manfaat.

“Saya lihat ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan pembersihan di Kampung Baru dan apabila warga asing sudah tidak ada, para pemilik yang sebelum ini menyewakan premis mereka akan tertekan, tetapi ini akan menyebabkan stigma Kampung Baru yang dikenali sebagai kawasan setinggan dan lubuk kepada warga asing dapat dibuang dan pembangunan boleh dilakukan selepas itu,” katanya.

KAMPUNG BARU PERLU KEKAL UNTUK ORANG KAMPUNG BARU

Sementara itu, Azmi menegaskan agar pembangunan semula itu nanti tidak
diserahkan kepada pemaju swasta secara 100 peratus dan kerajaan mesti mempunyai kepentingan majoriti di dalam projek itu.

“Sudah pasti pelaburan itu perlu lebih banyak daripada kerajaan kerana kita mahu
kawalan daripada kerajaan dan sekiranya pembangunan itu diserahkan kepada pihak swasta, pasti akan balik kepada pusingan yang sama kerana pemikirannya agak lain dengan sejarah Kampung Baru.

“Pemilikan tanah itu pula harus kekal kepada pemilik atau pewaris yang kini telah
menjangkau generasi keempat dan kelima. Persoalan hak milik tanah itu tidak dapat diselesaikan malah ada pemilik yang tidak dapat dikesan,” katanya.

Pemilik atau pewaris yang ramai menyebabkan isu ini mencabar untuk mencari titik
penyelesaian. Manakala ada di kalangan mereka berhadapan dengan masalah untuk menjual kerana penama yang tidak dapat dikesan.

“Bagi menyelasaikan kesulitan itu, KWP perlu campur tangan 100 peratus dalam pembangunan Kampung Baru walaupun di dalam akta Kanun Tanah Negara (KTN) ada menyatakan secara terperinci berkaitan dengan hak milik tersebut.

“Untuk menjayakan proses ini, saya berpendapat ia boleh dilakukan dengan campur
tangan kerajaan supaya ia dapat diselesai mengikut perundangan dan keputusan itu nanti pasti akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kita kena beri tahu pilihan kepada mereka, sekiranya ia dibiarkan, mereka hendak jual pun tidak boleh. Jadi perlu beri kuasa kepada KWP supaya keputusan yang dibuat akan mengambil kira kepentingan pemilik dan kawasan itu dapat dibangunkan dapat dibangunkan dengan mengekalkan ciri-cirinya,” katanya

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas