Berita

Achey terharu pengorbanan guru, sumbang 10,000 botol sanitizer

|ACHEY (Kanan sekali) dan pasukan Sugar Bomb menyumbangkan cecair pembasmi kuman kepada guru-guru sekolah
- Diterbit 6 Februari 2021 10:50 PM MYT

DALAM usaha mencegah penularan pandemik COVID-19 yang kini semakin membimbangkan, cecair pembasmi kuman atau sanitizer antara alat perlindungan yang sangat penting.

Menyedari hal itu, pelawak terkenal yang juga duta SugarBomb, Achey bersama pasukannya menyumbangkan cecair berkenaan kepada sekolah menengah dan tadika sekitar Lembah Klang, selain Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

Menerusi program SugarBomb Care For You itu, sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak lama lagi.

“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif COVID-19.

“Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan risau dan berisiko, mereka tetap menjalankan tugas dengan baik.

“Saya juga sempat berkunjung ke beberapa sekolah taska termasuk Sekolah Menengah Tinggi Klang. 

“Saya lihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan.

“Apabila sampai ke sekolah, guru sendiri menunggu pasukan SugarBomb untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi. 

“Tanpa mengira sesiapa yang hadir, kena ikut SOP ketat. Paling utama, kena ada surat kebenaran menghantar cecair pembasmi kuman kerana tidak boleh memasuki sekolah sesuka hati,” katanya yang sedar para guru dan pelajar berisiko tinggi apabila keluar rumah. 

ACHEY (Kanan sekali) dan pasukan Sugar Bomb menyumbangkan cecair pembasmi kuman kepada guru-guru sekolah

Achey berkata, dia perlu memakai pelitup wajah dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.

“Sebelum ini, kakak saya yang juga seorang guru pernah memberitahu SOP yang ditekankan di sekolah. 

“Dalam hati, saya macam tak percaya. Tetapi, saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah,” ujarnya lagi.

Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska  Al Syabab. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas