Sekilas

AA dulu penyerang berbisa, sekarang usahawan kota

|||
- Diterbit 18 Disember 2020 7:42 AM MYT

SATU ketika dahulu, kelibat figura ini sememangnya dinanti-nantikan di tengah padang. Tenang mengawal bola ketika berhadapan dengan asakan pertahanan lawan serta melakukan serangan sehingga berjaya menggegarkan gawang pasukan lawan menjadikan beliau sering menjadi sasaran pihak lawan ketika dalam setiap
perlawanan.

Legenda ini juga pernah bergandingan dengan penyerang Rusdi Suparman satu ketika dahulu dan kedua-duanya menghasilkan serangan yang mantap sehingga berjaya menjulang kejuaraan Piala Malaysia untuk Selangor FA beberapa musim.

Bagi pemilik jersi nombor 19 ini, Azman Adnan, 49, menceritakan asal usul penggunaan nombor 19 yang kini sudah menjadi sebati dengan dirinya sehingga kini.

AZMAN ADNAN (kanan) semasa zaman kegemilangannya menjulang Piala Malaysia bersama pasukan Selangor.

“Ketika itu, pemain legenda Selangor dan Kebangsaan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari bermain di posisi penyerang dan menggunakan nombor jersi 10.

“Disebabkan Allahyarham merupakan seorang pemain yang hebat dan dikagumi ramai, saya tidak berani menggunakan nombor tersebut kerana merasakan mutu permainan tidak setanding dengan Allahyarham.

“Kebetulan, ketika berumur 19 tahun, saya telah terpilih untuk mewakili pasukan Kebangsaan, maka sejak dari itu saya menggunakan nombor tersebut dan ia kekal sehingga bersara,” jelasnya kepada Wilayahku barubaru ini.

Menceritakan detik beliau terjun ke bidang perniagaan, Azman yang juga suami kepada Asfarina Muhamad atau dikenali As Feminin berkata penghijrahannya ke dalam bidang perniagaan berlaku dalam masa yang singkat.

“Sebenarnya perancangan untuk memulakan perniagaan ini sudah lama, namun saya mencari rakan niaga yang betul-betul komited dan bersungguh-sungguh dan
akhirnya bertemu dengan jiran, Jemizal Abu Bakar, Pengarah Urusan Jemz International Sdn Bhd.

“Kebetulan saya membesar di kawasan flat dan sering berlatih bermain bola sepak dan Jemizal yang ketika itu masih lagi kanak-kanak akan sentiasa memerhatikan saya dari tepi padang.

“Kami kemudian terputus hubungan dan setelah sekian lama akhirnya kami bertemu dan beliau terus mencadangkan mengenai perniagaan tersebut dan menawarkan saya menjadi rakan kongsi,” katanya.

Tambah bekas pengendali Skuad Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (The Cops) berkata, pertemuan yang berlangsung ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kedai makan mengambil masa yang pendek kerana
memahami dan bersetuju untuk mengetengahkan produk pakaian sukan berjenama AA19,” katanya.

Azman berkata, melalui pembangunan jenama AA19, beliau dan Jemz International Sdn Bhd telah mengeluarkan jersi Selangor edisi terhad.

“Untuk permulaan, kami merancang untuk mengeluarkan kira-kira 1,000 helai sahaja, namun apabila mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat, kami tingkatkan pengeluaran kepada 3,000 helai.

“Menarik mengenai jersi ini, ia mempunyai cetakan tanda tangan saya serta mempunyai nombor siri dan ia dijual dengan harga RM99,” katanya.

Tambah Azman lagi, untuk peminat yang mahu mendapatkannya jersi tersebut
boleh mendapatkan melalui laman web www.monyok.com.

“Peminat juga boleh datang ke pejabat urusan Jemz di Tasik Pemaisuri, Bandar Tun Razak untuk mendapatkan jersi tersebut.

“Selain daripada jersi Selangor edisi terhad, kami turut mengeluarkan jersi Kuala
Lumpur dan jersi Malaysia yang juga edisi terhad,” katanya sambil menambah peminat turut boleh mereka bentuk corak jersi mengikut citarasa mereka.

Mengulas mengenai pemilihan warna Negeri Selangor tersebut, Azman menjelaskan bahawa pemilihan warna tersebut dibuat kerana Selangor lah yang
menaikkan namanya dalam persada bola sepak profesional negara selain mengecapi banyak kejayaan bersama dengan pasukan tersebut.

Azman memberitahu, ketika ini pihaknya akan memberikan tumpuan kepada segmen pakaian sukan terlebih dahulu dan telah mempunyai perancangan untuk
mempelbagaikan lagi produk menggunakan jenama AA19.

“Kami juga berkolaborasi dengan pengeluar selipar berjenama Fipper untuk
mengeluarkan selipar yang mempunyai logo AA19 berserta tanda tangan saya.

“Selain itu, kami juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat tekstil Jakel untuk mengeluarkan kurta yang akan dipasarkan pada Hari Raya Aidilfitri.

“Untuk perancangan masa hadapan, kami juga akan mengeluarkan segmen pakaian formal dan kasual untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia dan ia bergantung kepada masa,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas