HAMPIR sembilan tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya pelakon Aprena Manrose tampil mengesahkan dia telah bercerai dengan suaminya, Mohd. Afiq Hazman.
Ini sekaligus menamatkan segala spekulasi tentang perpisahan mereka sebelum ini.
Perkara tersebut dikongsikan Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, menerusi hantaran terkininya di Instagram.
“Ramai kawan media tanya tentang status saya, ini adalah kenyataan rasmi daripada saya.
“Doakan saya mengharungi fasa yang baharu ini dengan tenang,” tulisnya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 32, ini tidak menafikan sukar untuk menerima kenyataan perpisahan tersebut, namun memilih untuk reda dengan takdir dan ketentuanNya.
“Sedih pula bila scroll gambar bersama tetapi hakikatnya kita tidak lagi bersama. Saya bukan lagi isteri kepada Mohd. Afiq.
“Kalau ada jodoh tak ke mana. Goodbye for now or maybe forever. Saya cuba, bertahan, usaha tapi saya gagal,” luahnya.
Aprena bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh dan punca sebenar perpisahan mereka.
“Tiada lagi kita. Terima kasih atas rasa yang diberi. Rasa yang luar biasa. Semoga berbahagia. Saya undur diri dulu,” tulisnya lagi.
Imbas kembali, Aprena dan Afiq telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2016. Namun, sepanjang tempoh perkahwinan tersebut, mereka belum dikurniakan cahaya mata. – WILAYAHKU