Berita

95 kompaun RM1,000 dikeluarkan terhadap pesalah ingkar PKP

ANGGOTA polis mengawal sekatan jalan raya. Gambar hiasan
- Diterbit 9 April 2020 8:49 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 95 notis kompaun sebanyak RM1, 000 terhadap individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tegas PDRM itu adalah bagi memastikan kepatuhan masyarakat terhadap arahan PKP.

“Bayaran kompaun boleh dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah dan balai polis berdekatan.

“Tempoh bayaran kompaun adalah selama dua minggu atau berdepan tindakan mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Pelaksanaan kompaun RM1, 0000 itu diumumkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan seramai 300 individu telah ditahan menerusi 769 sekatan dan rondaan oleh PDRM.

Jelas beliau, jumlah penahanan itu menyaksikan penurunan sebanyak 34 peratus berbanding 504 individu yang ditahan kelmarin.

“Dalam memastikan penguatkuasaan lebih ketat, kerajaan bersetuju dengan permohonan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membantu sekatan jalan raya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas