Berita

9 notis amaran terhadap premis perniagan dikeluarkan

- Diterbit 10 Ogos 2020 3:25 PM MYT

SEMBILAN notis amaran dikeluarkan kepada pengendali perniagaan semasa operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Labuan semalam, susulan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, daripada 40 premis yang diperiksa sebanyak 47 teguran dikeluarkan terhadap individu dan premis kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal.

“Kadar pematuhan masih dalam kadar sederhana. Oleh itu, pemantauan bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan kepatuhan kepada norma baharu dilaksanakan sekali gus menghentikan penularan Covid-19,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, beliau berkata, masih terdapat pemilik perniagaan yang tidak memastikan norma baharu di kuatkuasakan di premis mereka.

“Kesedaran masyarakat juga masih perlu dipertingkatkan terutama untuk memastikan kepatuhan kepada SOP dan norma baharu di samping memastikan masyarakat bijak membuat pemilihan serta berurusan dengan premis yang melaksanakan pematuhan kepada norma baharu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas