Berita

67 kes baharu Covid-19, babit 49 warga asing

- Diterbit 10 Mei 2020 9:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Terdapat penambahan 67 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan 49 darinya membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negara ini mencecah 6,656 kes.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 96 kes dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pulih sebanyak 5,025 kes.

“Peratusan pesakit pulih semakin meningkat dengan terkini 75.5 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,523 kes dan semuanya sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, seramai 18 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah kes kekal 108 iaitu 1.62 peratus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas