Berita

63,656 bendera WP dikibarkan

63,656 bendera Wilayah Persekutuan dikibarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023.
- Diterbit 3 Februari 2023 6:35 AM MYT

SEMPENA meraikan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2023 pada 1 Februari, sebanyak 63,656 pasang bendera dikibar merangkumi ketiga-ketiga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar berkata kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan merupakan program kick-off bagi SHWP bermula 15 Januari sehingga 28 Februari ini.

“Pemasangan 63,656 pasang bendera tersebut meliputi 40,250 bendera di Kuala Lumpur di mana pemasangan bendera itu dibantu oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Di Putrajaya pula, sebanyak 13,866 bendera dikibarkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) manakala 9,540 bendera lagi dipasang di Labuan oleh Perbadanan Labuan (PL),” katanya dalam wawancara dengan Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Rosida, objektif utama kempen tersebut adalah untuk mendidik seluruh warga WP berasa bangga akan kejayaan dan kecemerlangan negeri ini di samping menunjukkan rasa cinta dan setia terhadap wilayah masing-masing.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin mengajak seluruh warga WP untuk bersama-sama mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di rumah masing-masing sebagai tanda kesatuan antara kita dan menunjukkan rasa kekitaan,” ujar beliau.

Di samping meraikan SHWP 2023, JWP turut mengambil peluang tersebut menyantuni golongan kurang bernasib baik di WP melalui Program Serahan Rumah Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan kepada keluarga yang terpilih dengan melibatkan kerjasama Bank Islam.

“Program Baiti Jannati adalah program pemilikan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan
Perumahan Awam (PA) DBKL secara percuma kepada kumpulan sasar seperti asnaf, miskin tegar dan Orang Kurang Upaya (OKU) agar dapat mendiami rumah yang lebih selesa dan lengkap sebagai asas keharmonian sesebuah keluarga.

“Inisiatif amal jariah atau program yang bersifat tanggungjawab sosial korporat ini telah diperkenalkan sejak tahun 2016 dan tetap diteruskan pada tahun ini. Ia dilaksanakan secara kerjasama strategik dengan badan-badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Penganjurannya juga membawa mesej bahawa tanggungjawab membantu golongan yang tidak
berkemampuan perlu dipikul oleh semua pihak dan golongan yang berkemampuan,” jelas beliau. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas