Berita

534 kompaun dikeluar terhadap individu langgar SOP PKPB

ANGGOTA polis mengawal sekatan jalan raya bagi memastikan tidak ada individu yang cuba merentas negeri. Gambar hiasan
- Diterbit 27 Mei 2020 8:12 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 534 kompaun dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu menyaksikan 266 kompaun dikeluarkan di balai polis dengan 25 kesalahan ziarah Aidilfitri.

“Sebanyak 268 kompaun lagi dikeluarkan di lapangan dengan 257 daripadanya dikeluarkan dalam sekatan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Ismail Sabri menjelaskan, polis turut menahan 136 individu dengan 75 direman dan 61 lagi dijamin kerana ingkar PKPB.

Dalam perkembangan sama kata beliau, sebanyak 824 cubaan rentas negeri turut direkodkan semalam dengan alasan untuk pulang ke kampung.

“Selangor mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 284 diikuti Kedah (122) dan Melaka (113),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas