Berita

515, 477 rakyat Malaysia mendaftar u-Pustaka sehingga 31 Okt – Nancy

- Diterbit 15 Disember 2020 5:37 AM MYT

SERAMAI 515,477 rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai ahli u-Pustaka sehingga 31 Okt lepas sejak perkhidmatan digital perpustakaan itu mula diperkenalkan pada 2011.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sentiasa memperkasakan perkhidmatan itu dan keahlian u-Pustaka terus menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Perkhidmatan u-Pustaka adalah perkhidmatan maklumat yang boleh diakses di mana-mana atau pada bila-bila masa, menawarkan 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma melalui pinjaman atau dibaca secara dalam talian menerusi laman sesawang www.u-pustaka.gov.my,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nancy berkata PNM melalui projek u-Pustaka sebagai Hab Maklumat Negara telah mendigitalkan kandungan tempatan seperti manuskrip Melayu, buku nadir, koleksi negara dan surat khabar tempatan melalui projek pendigitalan yang dimulakan pada 2018.

Menurutnya, sehingga Dis 2019 sebanyak 1.7 juta muka surat bahan tempatan telah didigitalkan dan boleh diakses melalui portal u-Pustaka yang banyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Perkhidmatan u-Pustaka juga dapat menyokong pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan sosial dan ekonomi untuk meningkatkan kualiti hidup dan kualiti kerja melalui bahan elektronik dalam pelbagai perkara yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata melalui u-Pustaka juga, pengguna dapat berjimat dalam pembelian bahan-bahan bacaan bercetak terutama dalam suasana ekonomi yang tidak stabil akibat pandemik COVID-19.

Nancy turut berharap perkhidmatan u-Pustaka berkenaan dapat menyemarakkan perkongsian serta pertukaran pengetahuan dalam masyarakat berilmu secara berterusan dalam usaha menyokong inisiatif Jalinan Digital Negara dan perluasan jalur lebar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas