Berita

500 kilogram beras bantu etnik Rohingya

KENNY menyampaikan sumbangan kepada wakil etnik Rohingya.
- Diterbit 30 Mac 2020 9:20 AM MYT

PUTRAJAYA – Atas rasa kebertanggungjawaban sesama insan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) tampil menyampaikan bantuan kepada etnik Rohingya di Rohingya Education Centre, Puchong.

Rata-rata daripada mereka merupakan golongan yang terputus pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran penularan wabak Covid-19.

Menurut Duta Kemanusiaan MAPIM, Kenny Yas sumbangan tersebut bagi meringankan beban mereka kerana tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.

“Bekalan makanan mereka terputus serta tidak mempunyai wang memandangkan mereka ini rata-ratanya pekerja yang bergaji hari termasuklah yang bekerja sendiri.

“Kita memahami kesukaran yang mereka hadapi lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP yang sedang berjalan ini,” ujarnya yang juga merupakan seorang ahli magik profesional.

Berkongsi detik kesukaran untuk menyalurkan bantuan, menurut Kenny, dia sempat ditahan oleh pihak polis ketika dalam perjalanan menyempurnakan misi tersebut.

“Saya ditahan sebanyak dua kali dalam sekatan jalan raya, mujurlah setelah memberikan penerangan tentang misi ini, pihak polis dengan mudah memberi laluan,” ujarnya.

Sebagai duta MAPIM, dia rela bersusah payah turun padang demi menyalurkan bantuan berupa keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya.

“500 kilogram beras disumbangkan dalam misi bantuan ini kepada lebih 40 buah keluarga yang berada di sini, ” ujarnya kepada Wilayahku.

Selain daripada bantuan tersebut, pihak MAPIM juga turut membantu meringankan beban golongan asnaf dan anak yatim
di seluruh negara.

“Misi ini akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan bersama. Semoga dengan bantuan ini, dapat menceriakan hari-hari mereka terutamanya dalam situasi genting ini,” kata Kenny.

Dalam pada itu, Kenny juga sempat berpesan kepada seluruh rakyat Malaysia agar patuh kepada perintah kerajaan untuk berada di rumah.

“Jika ada hal penting dan terpaksa keluar rumah, jaga penjarakkan sosial, amalkan tatacara kebersihan serta pemakaian topeng muka,” ujarnya. – WILAYAHKU

ANTARA barangan yang diserahkan dalam misi bantuan Mapim.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas