Berita

50 peratus diskaun elektrik, Internet percuma

ORANG ramai akan menikmati diskaun bil elektrik hingga 50 peratus. Gambar hiasan TNB
- Diterbit 27 Mac 2020 1:32 PM MYT

PUTRAJAYA – Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat terpaksa tinggal di rumah sekali gus menyumbang kepada kenaikan bil tenaga elektrik.

Bebanan mereka itu ternyata mendapat perhatian apabila kerajaan dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta.

Ia bertujuan bagi memberikan diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, diskaun 50 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15 peratus bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt.

“Diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020. Sementara itu, diskaun sebanyak 2 peratus seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah,” katanya.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang lepas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tujuan pemberian diskaun 15 peratus ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan 2 peratus bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia mulai 1 April 2020.

Perdana Menteri berkata, bagi industri telekomunikasi dan multimedia, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan
Perintah Kawalan Keselamatan tamat.

“Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mapan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas