Berita

5 sekeluarga hilang tempat berteduh selepas rumah dijilat api

- Diterbit 8 Julai 2020 10:16 AM MYT

TIADA apa yang tinggal hanya sehelai sepinggang yang menimpa nasib lima sekeluarga akibat rumah kediaman mereka terbakar di Simpang 10, Kg Lajau pada Selasa.

Kebakaran tersebut juga memusnahkan empat buah motorsikal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Labuan menerima panggilan melalui MERS 999 pada jam 9.42 pagi seterusnya mengarahkan pasukan operasi yang diketuai oleh Komander Operasi Huzyman bin Malikin bersama 17 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan dan Balai Bomba dan Penyelamat Kg. Jawa (Bantuan) untuk bergegas ke lokasi kebakaran.

Menurut kenyataan JBPM memberitahu bahawa rumah tersebut didiami oleh satu keluarga seramai 5 orang iaitu 4 orang dewasa dan 1 orang kanak – kanak.

Walau bagaimanapun, semasa kebakaran hanya dua orang yang berada di rumah berkenaan dan berjaya menyelamatkan diri sementara ahli keluarga yang lain berada di tempat kerja.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 9.55 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi. – OLEH KHAIRUL IDIN -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas