Berita

47 KIR Labuan terima bantuan Program BMTKM

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Ismail menyerahkan mock cheque peralatan jahitan kepada seorang ketua penduduk dan disaksikan oleh Pengerusi PL, Senator Datuk Bashir Alias baru-baru ini.
- Diterbit 26 November 2022 2:00 AM MYT

SERAMAI 47 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40 di Labuan telah menerima manfaat melalui Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM577,535.

Jabatan Pelaburan dan Sosioekonomi Perbadanan Labuan (PL) dalam kenyataan berkata kesemua KIR telah menerima bantuan tersebut bermula awal September sehingga 11 November lalu.

“Antara barangan bantuan yang telah diserahkan adalah bantuan peralatan perniagaan, alatan fertigasi pertanian dan peralatan seperti perahu dan enjin.

“Kesemua penerima bantuan ini adalah mereka yang tersenarai sebagai pemohon e-Kasih dan bantuan itu diserahkan berdasarkan daripada pendapatan isi dan pekerjaan KIR.

“Bantuan ini adalah bertujuan untuk membantu mereka daripada keluarga miskin tegar agar keluar daripada kepompong kemiskinan dengan cara membantu mereka dengan mencadangkan projek atau program yang sesuai dilaksanakan berdasarkan keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memaklumkan pemantauan terhadap prestasi penerima bantuan itu akan dilaksanakan bermula awal tahun hadapan.

Sehubungan itu, katanya, PL berharap kesemua penerima bantuan mengambil manfaat yang telah diberikan oleh kerajaan supaya membantu meningkatkan ekonomi sekali gus mengeluarkan mereka dari jurang kemiskinan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas