Berita

Dakwaan DAP Annuar jual 42 lot tanah adalah fitnah

- Diterbit 19 November 2020 4:41 AM MYT

DAKWAAN bahawa 42 plot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijual semasa tempoh Tan Sri TPr Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan adalah tidak benar.

Tegas DBKL, berdasarkan semakan, 42 plot tanah di Kuala Lumpur yang disebutkan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, adalah milik persendirian yang memohon proses perubahan kepada zon guna tanah.

Jelasnya, permohonan tersebut juga disebabkan kepadatan penduduk dan nisbah plot terhadap Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).

“Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982, (Akta 267) memberi peruntukan kepada pemilik tanah bagi mengubah zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot dalam Pelan Tempatan (PBRKL2020) yang diwartakan.

“Dan permohonan yang dibuat itu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 17, Akta 267,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan itu merujuk kepada artikel bertajuk ‘MP Cheras dakwa 42 plot tanah DBKL dijual sejak Annuar jadi menteri’ yang disiarkan menerusi Malaysiakini bertarikh 18 November 2020.

Menurut DBKL, daripada 42 plot yang terlibat, tiga permohonan perubahan telah diwartakan manakala enam lagi dalam proses pewartaan.

Ujarnya, baki sebanyak 33 plot pula, masih dalam pertimbangan dan kesemua proses tersebut telah mengikut peruntukan yang termaktub dalam akta sedia ada.

Mengulas tentang dakwaan transaksi jual beli 97 tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dinyatakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), jelas DBKL, secara keseluruhannya transaksi pelupusan tanah yang berlaku adalah sebelum tahun 2020 dan ia tidak melibatkan keputusan daripada Menteri Wilayah Persekutuan pada masa ini.

Baru-baru ini, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendakwa YWP terlibat dalam urusniaga meragukan yang melibatkan 97 tanah DBKL dijual kepada syarikat swasta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas