Berita

PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai hampir RM 50,000 di Pasir Mas

MERCUN dan bunga api bernilai hampir RM50,000 dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berikutan penahanan seorang lelaki tempatan di Jalan Tunjong-Pasir Mas.
- Diterbit 5 April 2022 6:12 AM MYT

SEJUMLAH mercun dan bunga api bernilai hampir RM50,000 dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berikutan penahanan seorang lelaki tempatan di Jalan Tunjong-Pasir Mas, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan Supt Azhari Nusi berkata dalam kejadian pada 9.15 malam itu, suspek berusia 22 tahun berkenaan ditahan selepas Perodua Kelisa  yang dipandunya dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut ditemukan pelbagai mercun dan bunga api yang disembunyikan di dalam guni dan kotak di tempat duduk belakang serta di bahagian but kereta.

“Susulan soal siasat lanjut ke atas lelaki berkenaan, anggota PGA7 menyerbu sebuah stor bersebelahan premis kediaman keluarga suspek di Kampung Kenjing Repek pada 11 malam.

“Dalam serbuan tersebut, anggota PGA7 berjaya menjumpai mercun dan bunga api pelbagai jenama yang disembunyikan dan dipercayai dijadikan sebagai transit sementara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kesemua mercun yang dirampas dipercayai diseludup dari Thailand dan akan dipasarkan di sekitar Pasir Mas ekoran permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan.

Azhari berkata secara keseluruhannya, pihaknya merampas 40 bungkusan dan 1,208 kotak mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai RM49,692.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Pihak PGA7 percaya akan ada banyak lagi cubaan penyeludup untuk membawa masuk mercun dan bunga api dari negara jiran kerana permintaan yang tinggi,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas