Berita

40,000 mampu ditempatkan di 90 pusat kuarantin

ANTARA kemudahan yang disediakan di MAEPS untuk proses kuarantin kes Covid-19.
- Diterbit 4 April 2020 9:16 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 40,000 individu mampu ditempatkan dalam satu-satu masa di 90 buah pusat kuarantin Covid-19 di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan rekod sehingga 19 Mac lalu didapati seramai 4,933 individu telah dikuarantin di seluruh negara.

“Semalam didapati seramai 1,188 dikuarantin dengan 711 daripadanya merupakan kumpulan individu yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pusat kuarantin kita masih banyak yang boleh digunakan dengan kapasti 40,000 individu dalam satu-satu masa,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu arahan kuarantin juga dikenakan terhadap para penumpang yang tidak mempunyai penerbangan terus ke Sabah dan Sarawak.

Ujar Ismail Sabri, ini berikutan kelompok itu tidak mempunyai atau membeli tiket penerbangan atau tiket jadual penerbangan mereka lebih daripada tiga hari selepas tiba di KLIA.

“Bagi penumpang ini, tentu sahaja terpaksa keluar daripada lapangan terbang.

“Justeru mereka juga ditempatkan di pusat kuarantin di Kuala Lumpur, Selangor atau mana-mana kawasan berdekatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas