Berita

400 pelajar tingkatan 5 sertai Bengkel Pecutan Akhir Skor A+ SPM @ Putrajaya

PARA pelajar didedahkan dengan teknik belajar dan kaedah menjawab soalan dalam bengkel tersebut.
- Diterbit 13 Januari 2023 8:29 AM MYT

SERAMAI 400 orang pelajar dari 11 sekolah Putrajaya menyertai Bengkel Pecutan Akhir Skor A+ SPM @ Putrajaya di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) baru-baru ini.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program yang diadakan pada 7 dan 15 Januari itu adalah bagi meningkatkan kualiti pendidikan warga sekolah Putrajaya selain membentuk jati diri sebagai persiapan ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Bengkel ini dianjurkan bertujuan membantu para pelajar di tingkatan 5 untuk membuat persiapan intensif bagi menduduki SPM bermula 20 Februari ini.

“Selain itu, pelajar-pelajar turut didedahkan dengan teknik belajar dan kaedah menjawab soalan di bawah bimbingan guruguru yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, Fadlun berkata pelaksanaan bengkel tersebut juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu SDGs 4: Quality Education, SDGs 11: Sustainable Cities and Communities dan SDGs 17: Partnership For The Goals.

Tambah beliau, bengkel yang bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang itu dilaksanakan PPj melalui Seksyen Local Agenda 21 Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Majlis Pengetua Semenanjung Malaysia (Putrajaya). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas