Utama

Padah memancing, 4 PATI ditahan di pantai Labuan

EMPAT PATI ditahan ketika memancing di pesisir pantai Labuan.
- Diterbit 20 Jun 2020 7:16 AM MYT

SETELAH hampir 20 tahun menetap dan hidup secara sembunyi di Pantai Kiansam, akhirnya empat individu pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diberkas sepasukan polis Labuan ketika mereka sedang memancing dikawasan persisiran pantai itu, awal pagi tadi.

MUHAMAD FARID

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, keempat-empat suspek warga Filipina yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu, ditahan pada pukul 2 pagi tadi kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Ketika tangkapan dibuat, kesemua suspek baru sahaja selesai memancing dan sedang mendaratkan pump bot di kawasan pantai Kiansam. Bot tersebut milik salah seorang daripada mereka.

“Kesemua suspek direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1953/69 dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali,” katanya.

Dalam pada itu, Farid menegaskan, pemantauan di sepanjang pesisir pantai Labuan akan diteruskan bagi mengekang pendaratan PATI yang ingin memasuki Labuan.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jika melihat akitiviti pendaratan PATI di sekitar pesisir pantai Labuan bagi membantu pihak berkuasa mengekang kemasukan golongan itu. – WILAYAHKU

PUMP bot yang digunakan suspek untuk memancing sebelum ditahan polis.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas