Selebriti

4 hari tayangan, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan raih 11 juta

|SYAMSUL Yusof sentiasa teliti dan mahukan yang terbaik serta mempunyai kualiti.|
- Diterbit 26 Jun 2022 3:02 PM MYT

FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencatatkan membanggakan apabila meraih kutipan RM11 juta dalam tempoh tiga hari (setakat pukul 9 malam) sejak ditayangkan di pawagam, sejak Khamis lalu.

Ini adalah berdasarkan maklumat terkini daripada Facebook rasmi GSC.

Sebelum ini, filem terbitan Studio Kembara arahan Syamsul Yusof itu dilaporkan mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.

Diikuti pada hari kedua, filem Mat Kilau ini meraih kutipan RM1.8 juta dan hari ketiga menghampiri RM3 juta.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

SYAMSUL Yusof (Kanan) sentiasa teliti dan mahukan yang terbaik serta mempunyai kualiti.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Sebelum ini, antara filem arahan Syamsul yang meraih kutipan membanggakan adalah seperti Munafik 1, Munafik 2 dan KL Gangster. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas