Selebriti

“36 tahun menyanyi, COVID-19 saat paling mencabar” – Ramlah Ram

- Diterbit 12 Julai 2021 2:10 AM MYT

PENYANYI legenda popular Ramlah Ram tidak menafikan dia turut terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ramlah Ram,56, nasibnya sebagai penyanyi juga tiada bezanya dengan pekerjaan lain apabila tiada tawaran nyanyian sejak tahun lalu.

“Sepanjang 36 tahun menyanyi, tempoh sekarang ini iaitu pandemik COVID-19 paling mencabar dan merumitkan. Semuanya terbatas. Saya percaya semua orang merasakan perkara yang sama,” katanya kepada Wilayahku sewaktu sidang media secara maya pelancaran lagu terbaharunya berjudul Aku Ubatinya Lagi.

Ramlah juga mengakui dirinya juga seperti orang lain sudah lama terkesan dengan pandemik ini.

“Nak cakap fasal terkesan ketika PKP, sejak awal PKP lagi sudah terkesan sebenarnya. Sebab kurang tawaran dan aktiviti pentas ditambah lagi ada PKP yang tidak boleh melibatkan industri muzik dijalankan. Berbeza dengan lakonan, setidaknya sebelum ini penggiat seni bidang itu boleh cari makan.

“Alhamdulillah duit simpanan saya masih ada. Tapi tak boleh juga saya bergantung sepenuhnya dengan tabung. Bukit kalau ditarah sekali pun gondol juga. Maka kena berusaha juga.

“Alhamdulillah, duit simpanan masih ada tapi sampai bila? Untuk saya, memang kena berjimat-cermat dan tak boleh berdiam diri sahaja.

“Mujur ada punca pendapatan lain seperti bisnes parfum, peranan sebagai duta produk dan sebagainya,” jelasnya yang lebih berjimat cermat memandangkan tiada jaminan pandemik COVID-19 ini akan berakhir.

Dalam pada itu, Ramlah juga menasihatkan masyarakat agar terus bersabar kerana rezeki itu datang daripada Allah.

“Mahu tak mahu, kita perlu biasakan diri hidup dalam era pandemik. Saya susah, ada orang lain yang lebih susah.

“Sudah setahun lebih kita hidup begini, tapi percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.

“Saya sedar ada yang sudah buntu sehingga tidak tahu apa yang patut dilakukan lagi.

“Apa-apa pun jangan melakukan perkara yang merosakkan diri kerana percayalaah semua ini akan berakhir.
Sama-sama kita berdoa,” jelas Ramlah Ram lagi yang baru sahaja muncul dengan lagu Aku Ubatinya Lagi.

Aku Ubatinya Lagi ciptaan Ajai dan Sharon Paul kini sudah boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital dan muzik video rasmi lagu sudah boleh ditonton di YouTube Universal Music Malaysia.

Lagu tersebut dirakamkan di Studio Wake The Baby Records sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, iaitu pada awal Mac tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas