Berita

3,105 kena kompaun RM1,000 dalam tempoh lima hari

ANGGOTA polis mengawal sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan PKP. Gambar hiasan IPD Petaling Jaya
- Diterbit 13 April 2020 8:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Segelintir  rakyat negara ini didapati terus degil melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila sebanyak 3,105 kompaun RM1, 000 dikeluarkan dalam tempoh lima hari sejak 8 April lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan seramai 1,471 individu telah ditahan semalam.

Katanya, menerusi tangkapan tersebut didapati seramai 949 daripadanya dikenakan kompaun, reman (503) dan jaminan polis (19) manakala 51 individu turut didakwa di mahkamah.

“Jika dilihat dari segi jumlah tangkapan ia terus bertambah. Ini menunjukkan PDRM tidak berkompromi berhubung individu yang ingkar PKP.

“Jumlah keseluruhan tangkapan bermula 18 Mac lalu hingga semalam adalah seramai 8,647 orang,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan seramai 13,575 telah dikuarantin di 174 pusat kuarantin di seluruh negara.

“Semalam, seramai 390 rakyat negara ini telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, kos untuk membawa pulang ke tanah air bagi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat Covid-19 ditanggung oleh mereka sendiri termasuk pelajar.

“Urusan membawa rakyat pulang tertakluk kepada negara terbabit di mana mereka terkandas. Ini disebabkan terdapat negara-negara membuat sekatan perjalanan iaitu membatalkan semua penerbangan bagi mengekang pandemik Covid-19.

“Sekiranya pihak kerajaan dibenarkan bawa pulang rakyat Malaysia, kos ditanggung individu berkaitan dan urusan penerbangan khas pulang diuruskan Kementerian Pengangkutan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas