Berita

300 penduduk parlimen Seputeh terima sumbangan Aidilfitri

SERAMAI 300 penerima penduduk di Kawasan Parlimen Seputeh menerima sumbangan Aidilfitri daripada DBKL dan MPP Sub Zon 2 Seputeh, Pagi tadi.
- Diterbit 25 April 2022 7:18 AM MYT

BEBERAPA hari sahaja lagi umat islam akan menyambut perayaan Aidilfitri. Ramai masyarakat kini sedang bepusu-pusu membuat persiapan membeli baju raya,membuat kuih raya dan menghias rumah setelah sekian lama tidak dapat meraikan syawal susulan kekangan penularan wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Justeru itu, bagi mengukir kembali senyuman dan meringankan sedikit bebanan komuniti penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di kawasan parlimen Seputeh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 parlimen Seputeh hari ini menghulurkan sumbangan Aidilfitri kepada 300 penduduk di kawasan tersebut.

Sumbangan berbentuk duit raya bernilai RM100 beserta cenderamata kuih raya itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi, Datuk Anwar Mohd Zain bersama Pengerusi MPP Sub Zon 2 Parlimen Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff dalam Majlis Sumbangan Aidilfitri Parlimen Seputeh di Kompleks Komuniti Seputeh, Bukit OUG, Puchong, Kuala Lumpur, pagi tadi.

DATUK Anwar Mohd Zain

Menurut Datuk Anwar Mohd Zain, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kerana menambah jumlah penerima sumbangan hari ini daripada 100 orang kepada 300 penerima.

“Sebelum ini kita berikan kepada 100 orang sahaja tetapi tahun ini di atas keprihatinan dan kepekaan Menteri Wilayah Persekutuan terhadap warga PPR/PA, jumlahnya telah bertambah kepada 200 orang lagi.

DATUK Anwar (kiri) menyantuni salah seorang penerima sumbangan Aidilfitri.

“Walau bagaimanapun, hari ini hanya 250 orang penerima sahaja yang ada dan sumbangan kepada baki 50 orang lagi akan diuruskan oleh pihak pengurusan bahagian cawangan.

“Oleh itu, sedikit pesanan ringkas daripada saya buat mereka yang mahu pulang ke kampung supaya berhati-hati, pandu kereta dengan cermat, dan paling utama kita masih belum bebas dengan wabak covid-19, untuk itu, sentiasa jaga kebersihan diri dan pakai pelitup muka ketika menziarahi rumah saudara-mara atau jiran tetangga,” katanya kepada Wilayahku.

DATUK Mustapa Kamal Mohd Yusof

Sementara itu, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusof turut bersyukur di atas keprihatinan Menteri WP dan pihak DBKL terhadap golongan miskin bandar ini dan berharap sumbangan tersebut memberi keceriaan kepada penduduk.

“Rata-rata penerima datang kepada saya mengucapkan syukur dan berterima kasih di atas pemberian sumbangan ini. Walaupun sedikit, ia dapat membantu mereka dalam membuat persiapan hari raya.

DATUK Mustapa Kamal beramah mesra dengan salah seorang penerima Kurang Upaya (OKU).

“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidilfitri buat seluruh umat islam di Malaysia. saya juga nasihatkan kepada pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pada 27 April ini, MPP Parlimen Seputeh akan mengadakan program terakhir Majlis Sumbangan Adilfitri yang melibatkan 20 penerima di Surau Nurul Hidayah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas