Berita

300 pek Prihatin Ramadan diedar kepada asnaf BTR

MUHAMMAD FITRI menyerahkan sumbangan pek Prihatin kepada salah seorang asnaf baru-baru ini.
- Diterbit 8 Mei 2021 9:08 AM MYT

BAGI membantu golongan asnaf dan individu yang kurang berkemampuan, Kelab Anak Muda Bandar Tun Razak tampil menghulurkan ­sumbangan di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pengerusinya, Muhammad Fitri Ramli berkata, sumbangan tersebut disalurkan bagi meringankan beban kumpulan sasar dalam menempuhi Ramadan dan bakal meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, sejumlah 300 pek bantuan prihatin Ramadan ­diserahkan ­kepada penerima yang layak.

“Kesemua mereka terdiri daripada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tinggal di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Seri Mulia, Seri Kota, Sri Pulau Pinang, Sri Labuan dan Seri Melaka.

“Mereka akan menerima barangan asas dan kuih raya. Sungguh pun ia tidak banyak, namun saya percaya sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Muhammad Fitri, program tahunan itu diadakan dengan kerjasama iltizam@ekuinas Nasional Berhad, Vape69 Malaysia, ECJ Cares dan I Sejahtera Malaysia.

Tambahnya, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan asnaf tidak terpinggir dan sentiasa dilindungi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas