Berita

2,926 pemandu teksi terima manfaat Program Caruman Perkeso YWP

KHALID PERKESO
KHALID (tengah) beramah mesra bersama beberapa pemandu teksi ketika menyerahkan cek caruman Perkeso sumbangan YWP sambil diperhatikan Zaizalnizam di sini hari ini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 3 September 2019 11:37 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan lebih RM200,000 kepada pemandu teksi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena program pakej perlindungan caruman Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, secara keseluruhannya, 2,926 pemandu teksi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat manfaat berkenaan.

“Program tersebut dilaksanakan dalam tiga peringkat bermula Jun hingga Julai tahun ini dan terbahagi kepada tiga kategori.

“Kategori pertama adalah pemandu teksi yang telah berdaftar dengan Perkeso dan aktif membuat caruman. Bagi kategori kedua pula, pemandu teksi yang berdaftar dengan Perkeso tetapi tidak membuat caruman perlindungan,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Menurut Khalid, kategori ketiga pula melibatkan pemandu yang tidak berdaftar dengan Perkeso tetapi membuat pendaftaran ketika program ini dijalankan sehingga tarikh tutup pada 31 Julai lalu.

Jelas beliau, bagi menggalakkan lebih ramai pemandu teksi mencarum dengan Perkeso, program terbabit dilanjutkan sehingga 16 September ini.

Justeru, beliau menyeru supaya golongan terlibat mencarum bagi membolehkan mereka menerima manfaat program dan pada masa sama membantu mengurangkan beban pemandu teksi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas