Berita

27 negara berkumpul di KL sempena KLTM

|
- Diterbit 13 Mei 2022 2:00 AM MYT

SELEPAS merangkul kejayaan dalam penganjuran Kuala Lumpur Travel Mart (KLTM) pada tahun 2018 hingga 2020, kini ia kembali diadakan dengan jalinan kerjasama antara The World Travel Exchange Virtal (WorldTEX).

Berlangsung di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 24 Mei ini, ia adalah penganjuran kali keempat serta merupakan acara pertama gabungan dua pesaing selepas kedua-dua syarikat ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Wan Shairi Wan Ahmad

Menurut Pengarah Urusan WSF Travel Sdn Bhd, Wan Shairi Wan Ahmad, acara pertama itu diadakan untuk menghubungkan penyedia perkhidmatan dalam industri pelancongan dengan ejen pelancongan dalam dan luar negara.

“Ini adalah kerjasama menarik untuk kedua-dua pihak dan ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk serta pakej terkini pelancongan seluruh dunia. Menerusi MoU ini, kami harap ia dapat meningkatkan kerjasama di samping memanfaatkan kepakaran masing-masing bagi menjadikan acara tersebut lebih berkesan.

“Tahun ini kita telah berjaya mengumpul 27 negara di Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti syarikat penerbangan, syarikat pengurusan
destinasi, operator pelancongan dan lain-lain serta berjaya membawa lebih 50 hotel seluruh Malaysia ke acara tersebut untuk menguatkan lagi sektor pelancongan
negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi,pengumuman kerajaan membuka semula pintu sempadan negara berkuat kuasa pada 1 April lalu merupakan masa terbaik buat industri pelancongan untuk kembali bangkit mempromosikan produk mereka selepas dua tahun terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.

“KLTM dan WorldTEX berkongsi objektif yang sama iaitu mahu mencipta peluang untuk membangunkan hubungan perniagaan, mendapatkan lebih banyak petunjuk, membina pangkalan pelanggan serta menyampaikan tawaran terkini,” katanya.

Terdahulu, MoU tersebut telah pun ditandatangani oleh Wan Shairi Wan Ahmad bersama Pengarah Urusan Penastria Event Sdn Bhd, Zairul Annuar Mohd Zin dan disaksikan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas