Utama

250 kontraktor G1 berjaya peroleh peluang kerja DBKL

NOR HISHAM mengocak kertas undi semasa sesi Cabut Kerja Undi Kontraktor G1 di Institut Latihan DBKL di sini hari ini.
- Diterbit 3 Mac 2020 7:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 250 kontraktor kecil kelas G1 di sekitar bandar raya ini berjaya memperoleh peluang kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal dengan menggunakan jadual kadar harga, selepas sesi pengundian dilakukan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini bermula pukul 12.30 tengah hari tadi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kesemua kontraktor yang berjaya itu boleh melakukan tugas-tugas mereka yang meliputi aspek awam, mekanikal dan elektrikal dengan serta merta.

“Ini kali pertama buat kerja undi berjumlah RM50 juta, untuk 250 kontraktor G1. Ia juga merupakan inisiatif DBKL kerana ekonomi Malaysia yang tidak baik ini menyebabkan banyak kontraktor kecil yang tidak dapat kerja.

“Walaupun nampak tidak banyak, tetapi hakikatnya projek ini baik untuk bantu golongan sasar. Oleh itu, saya berharap agensi lain juga melaksanakan perkara ini sekali gus dapat membantu kontraktor G1,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Cabutan Kerja Undi DBKL.

Dalam pada itu, Nor Hisham menyeru semua kontraktor yang terlibat agar dapat menjalankan kerja secara amanah dengan menggunakan bahan yang berkualiti dan setimpal nilai harga kerja tersebut selain perlu menepati tempoh masa yang ditetapkan.

Terdahulu, pada majlis itu, kira-kira 500 kontraktor kelas G1 menunggu nombor mereka dicabut bagi memperoleh kerja-kerja yang ditawarkan DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas