Utama

24 pelacur ditahan dalam serbuan di Setapak

- Diterbit 19 Januari 2021 2:40 PM MYT

MESKIPUN ibu negara berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, Jabatan Penguatkuasaan (JPK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap komited membersihkan bandaraya ini dari sebarang aktiviti tidak bermoral yang boleh mencemarkan imej Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataannya, JPK melaksanakan “Operasi Tindakan Khas Aduan Awam” telah melakukan serbuan ke atas sebuah hotel yang menawarkan dan menjalankan aktiviti tidak bermoral di Setapak dan telah menahan 24 wanita warga asing.

“Hasil risikan yang telah dijalankan sebelum ini di lokasi tersebut telah membuahkan hasil dengan pembuktian 24 orang wanita warga Vietnam, Thailand dan Indonesia.

“Mereka menjalankan aktiviti pelacuran dengan menggunakan perkhidmatan bilik hotel,” menurut kenyataan itu.

“Tindakan Khas ini diambil di bawah Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 kerana melanggar syarat umum lesen hotel dengan membenarkan pelanggan-pelanggan yang menginap di premis hotel menjalankan atau melakukan kerja berunsurkan pelacuran atau tidak bermoral,”

“Turut disita barang-barang berkaitan aktiviti pelacuran iaitu kondom dan bahan pelincir. Kesemua barangan tersebut telah dihantar ke setor sitaan DBKL untuk proses dokumentasi,” kata DBKL menerusi hantaran di laman Facebook.

Katanya, pihak DBKL telah mengambil tindakan terhadap pemilik hotel atas kesalahan melanggar syarat lesen dan menahan wanita terbabit serta menyita hotel berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut Prosedur Operadi Standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak DBKL dan kesemua yang ditangkap diserahkan kepada agensi berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas