Berita

233 institut memandu rayu kebenaran kerajaan untuk beroperasi semula

- Diterbit 10 Februari 2021 7:03 AM MYT

HAMPIR sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dan sepanjang tempoh itu, institut memandu dan latihan di seluruh negara antara perkhidmatan yang terkesan dan tidak dibenarkan beroperasi.

Akibatnya, kebanyakan tenaga pengajar dan ejen institut memandu mengalami kesukaran terutama semasa waktu genting ini apabila sumber pendapatan bagi menampung kehidupan seharian mereka terjejas.

Susulan itu, sebanyak 233 institut memandu di seluruh negara merayu agar kerajaan membenarkan perkhidmatan itu kembali beroperasi selepas kebenaran diberikan kepada beberapa sektor ekonomi lain semalam.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Mat Aris Bakar berkata penutupan institut memandu bagi tempoh yang panjang akan mengakibatkan pemberhentian pekerja termasuk kemungkinan penutupan institut memandu.

“Dianggarkan lebih 20,000 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada industri itu bakal kehilangan pekerjaan sekiranya perkara ini berlanjutan, kerajaan perlu kaji semula implikasi ekonomi dan mempertimbangkan untuk membenarkan institut memandu kembali beroperasi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mat Aris berkata penutupan institut memandu turut membantutkan inisiatif pemahiran semula (reskilling) individu yang memohon untuk mendapatkan lesen kenderaan bagi menjana pendapatan melalui perkhidmatan e-hailing, khidmat penghantaran barang ‘runner’ dan kurier yang mendapat permintaan tinggi semasa PKP.

Katanya, implikasi penutupan institut memandu adalah lebih besar, melibatkan banyak pihak dan menjejaskan kitaran ekonomi sekali gus menyebabkan negara kerugian dari segi tenaga kerja memandangkan khidmat pengangkutan merupakan nadi ekonomi negara.

Beliau turut memaklumkan pihaknya telah menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara pada Januari lepas bagi menyuarakan cadangan membuka semula institut memandu di seluruh negara.

Seorang pengajar di Pusat Latihan Memandu Cawangan Kajang/Bangi Yusrizam Yusof, 39, berkata beliau terpaksa mencari pekerjaan lain kerana pendapatan sebelum ini hanya bergantung kepada sesi pengajaran dan latihan memandu pelajar serta tidak mempunyai gaji pokok.

“Tahun lepas tiga bulan saya tak bekerja (sepanjang PKP), baru tujuh bulan beroperasi kemudian terpaksa tutup lagi semasa PKP, jadi sekarang kita tunggu keputusan kerajaan.

“Buat masa ini, memang ramai (pelajar) yang menunggu untuk ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ceramah dan latihan. Sebelum ini, pusat latihan memandu tidak ada kluster jadi kerajaan kena pertimbang kebenaran (untuk beroperasi),” katanya yang mempunyai pengalaman mengajar di institut memandu selama tujuh tahun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Memandu Abad Canggih Datuk Mohd Zaki Ahmad, 53, berkata keputusan kerajaan tidak membenarkan pengoperasian institut memandu dan latihan semasa PKP itu wajar diambil perhatian bagi menangani penularan COVID-19.

Akur dengan arahan kerajaan walaupun terpaksa menanggung kerugian, beliau berkata institut memandu dan latihan perlu memahami hakikat tersebut demi melindungi seluruh anggota masyarakat.

“Memang perit kerana tidak beroperasi tetapi keputusan kerajaan tertakluk kepada saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan JPJ, kita tidak mahu kes COVID-19 terus meningkat seterusnya akan merugikan kerajaan dan orang ramai,” katanya.

Mengulas mengenai keluhan pihak yang tidak berpuas hati dengan pembukaan sektor peruncitan dan sebagainya, Mohd Zaki berpendapat kerajaan perlu tegas meneliti perkara itu dan tidak mengambil keputusan ‘separuh masak’ yang akan membahayakan semua pihak.

Sebelum ini, institut memandu dan latihan dibenarkan beroperasi semasa pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Antara SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ialah pemeriksaan suhu badan, proses nyahkuman di luar dan dalam kenderaan pada setiap masa, sebelum dan selepas digunakan serta memastikan kapasiti dan aturan tempat duduk terkawal di dalam bilik kursus. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas